KUALA LUMPUR 28 Jan. – FGV Holdings Bhd. (FGV) akan membina kemudahan pembuatan ramen halal dan mi segera di Malaysia menerusi kerjasama dengan Samyang Foods Co., Ltd. (Samyang Foods)
Kedua-dua syarikat itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kemudahan pengilangan bagi memenuhi pasaran tempatan dan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kerjasama itu sebahagian daripada hala tuju strategik FGV untuk mengembangkan perniagaan hiliran kumpulan dengan mempelbagaikan penawaran produk dan menembusi pasaran baharu.
Katanya, sektor logistik dan perniagaan sokongan FGV (LSB) juga akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini dengan menyediakan penyelesaian rantaian bekalan logistik.
“Menerusi MoU ini, FGV berharap dapat menerokai peluang yang mana kedua-dua pihak akan menubuhkan kemudahan pembuatan ramen halal dan mi segera di Malaysia.
“Pasaran makanan halal global merupakan antara segmen yang paling pesat berkembang dalam industri makanan dan dijangka mencapai nilai lebih daripada AS$740 bilion (RM3.04 trilion) pada 2025,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Korea Selatan hari ini turut dihadiri Pengarah Urusan Kanan Samyang Foods, Jung Tea-Woon; Ketua Pegawai Eksekutif Samyang Foods, Kim Jung-Soo; Pengerusi FGV Holdings Bhd., Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Pelaburan FGV, Fakhrunniam Othman
Selain daripada kemudahan pengilangan halal baharu Samyang Foods di Malaysia, kerjasama itu akan memberikan FGV akses kepada rantaian bekalan Samyang Foods termasuk minyak masak, lelemak sayuran dan gula untuk kilang ramen sedia ada di Wonju, Korea Selatan.
Samyang Foods adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di Korea Selatan dan disenaraikan di Korea Stock Exhange dengan modal pasaran semasa sebanyak RM1.68 bilion.
Syarikat tersebut menjalankan perniagaan pembuatan dan penjualan pelbagai produk makanan seperti ramen, makanan ringan, produk tenusu, sos dan ladu beku.
Produk Ramen Samyang Foods dikenali di pasaran Asia, Eropah, Oceania, Asia Barat, Amerika Utara dan Amerika Selatan serta berjaya menjual lebih 400 juta bungkusan produk pada 2017.
Anak syarikat milik penuh FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP) yang menerajui perniagaan hiliran kumpulan dilihat boleh memanfaatkan rangkaian R&D dan pengedaran global Samyang Foods yang kukuh untuk meningkatkan kualiti dan memperluaskan pasaran produk di bawah jenama Saji di peringkat serantau dan seluruh dunia.











