PONTIAN 15 Jan. – Fenomena air pasang besar yang berlaku di Taman Negara Tanjung Piai di sini pada setiap hujung Disember sejak lima tahun kebelakangan ini adalah kejadian biasa.
Ini berlaku apabila terdapat tarikan graviti yang kuat ketika bumi, bulan dan matahari berada pada satu garisan sekali gus mampu menghasilkan air pasang besar di kawasan rendah sehingga melimpah ke daratan seperti di Tanjung Piai.
Walau bagaimanapun, itu tidak akan menyebabkan Taman Negara Tanjung Piai tenggelam.
Menurut Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, graviti yang kuat akan menarik kandungan dalam kerak bumi naik ke atas dan berlaku limpahan itu.
“Kejadian itu tidaklah sampai Taman Negara Tanjung Piai tenggelam. Fenomena itu biasa terjadi di kawasan pantai yang rendah dan berlaku di banyak tempat.
“Kenapa berlaku di Tanjung Piai? Ini kerana berdekatan dengan Selat Melaka selain kawasan agak tertutup. Ia juga jarang berlaku di sebelah pantai timur sebab lautnya lepas,” katanya ketika ditemui di Pusat Geotropik UTM, di sini baru-baru ini.
Pada masa sama, Edy Tonnizam tidak menolak kemungkinan fenomena itu berlaku disebabkan pemanasan global yang menyebabkan paras air laut meningkat setiap tahun, namun keadaan itu lebih kepada penarikan graviti bulan.
Ditanya mengenai paras kenaikan air laut ketika air pasang, beliau menjelaskan, paras air laut bergantung kepada daya tarikan graviti antara bumi, bulan dan matahari.
Tambahnya, semakin kuat daya tarikan graviti, air semakin tinggi, namun fenomena itu tidak memberi kesan buruk kepada Taman Negara termasuk Paya Bakau kerana terjadi dalam tempoh yang singkat.
“Memang kita tahu setiap tahun ada sedikit kenaikan air laut di dunia disebabkan pencairan tetapi ini tidak signifikan sangat, paling utama tarikan bulan kepada bumi dan selari dengan matahari maka tarikan graviti semakin kuat dan itu yang terjadi di Tanjung Piai,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Norwati Abdul Wahab fenomena air pasang besar yang berlaku di Taman Negara Tanjung Piai bermula pada 23 hingga 27 Disember lalu menjadi tarikan orang ramai.
Beliau berkata, limpahan air deras di sekitar kawasan taman negara itu menjadikan pintu masuk taman itu meriah dengan kunjungan orang ramai bermain air dan untuk mandi-manda.
Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja menjadi tarikan kepada kanak-kanak, malah mendatangkan keterujaan kepada orang dewasa bermain air di kawasan tersebut.
“Fenomena air pasang besar itu berlaku setiap hujung tahun dan sudah bermula sejak lima tahun lalu. Pada tahun ini, kemuncaknya adalah apabila limpahan air setinggi 3.6 meter berlaku pada 24 dan 25 Disember.
“Pada kebiasaannya, fenomena limpahan daripada Selat Melaka berlaku hanya dua jam dalam sehari antara 11 pagi hingga 1.30 petang dan sepanjang tempoh itu ia menjadi tempat tumpuan orang ramai,” katanya.
Norwati berkata, seramai 20 kakitangan ditugaskan memantau orang ramai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan lawatan ke taman negara itu ditutup selama dua jam sepanjang fenomena berlaku.
Katanya, bilangan pengunjung yang datang untuk melihat fenomena itu turut meningkat berbanding sebelum ini dipercayai adanya kesedaran berhubung kejadian tersebut.










