BUAT kali pertama dalam sejarah, Felda United terpaksa bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dengan ‘mengikat perut’ ekoran penstrukturan bajet yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
Pasukan The Fighters yang mula ditubuhkan pada tahun 2007 sebelum ini dilihat tidak mempunyai masalah untuk berbelanja mewah dengan menandatangani barisan pemain ternama tempatan dan tonggak import yang berkualiti.
Ramuan tersebut membolehkan skuad yang sebelum ini dibimbing oleh B. Sathianathan itu mudah mendominasi Liga Premier musim lepas berbekalkan bajet setanding pasukan Liga Super.
Selepas sasaran tersebut dicapai, pasukan Felda dilanda kontroversi apabila gagal membayar gaji barisan dan pegawai pasukan sehingga menyebabkan Sathianathan ‘angkat kaki’ sebelum posisinya digantikan oleh Mohd. Nidzam Jamil yang sebelum ini menggalas tugas penolong kepada pengendali berpengaruh itu.
Bagaimanapun, keputusan Felda United untuk terus bersaing dalam kancah Liga M wajar dipuji susulan pesaing rapat mereka pada Liga Premier musim lepas, Felcra FC telah mengibarkan ‘bendera putih’ dengan menarik diri serta-merta untuk saingan 2019 ekoran kekangan bajet.
Adalah satu kerugian sekiranya Felda United mengambil keputusan tersebut memandangkan nama mereka sudah cukup ‘gah’ dalam sukan bola sepak Malaysia selain menjadi pasukan pertama yang memiliki arena sendiri iaitu Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang.
Cuma, pasukan itu diakui kurang bersinar untuk musim 2019 ekoran beberapa pemain bintang telah mengambil keputusan berhijrah ke pasukan baharu seperti Wan Zack Haikal Wan Noor, Farizal Harun dan kapten pasukan, Muhd. Shukor Adan.
Tugas berat bakal digalas oleh Mohd. Nidzam andai pasukannya berhasrat untuk bersaing dengan jaguh-jaguh handalan Liga Super nanti memandangkan skuadnya rata-rata dibarisi oleh pemain muda.
Namun, keputusan beberapa pemain berpengalaman yang memilih untuk kekal seperti Hadin Azman, Christie Jayaseelan serta tonggak baharu Jasazrin Jamaluddin dan Norazlan Razali masih dilihat mampu memberi keseimbangan buat skuad utama itu musim depan.
Apa yang pasti, pasukan kebanggaan warga Felda ini yang rata-rata diwakili oleh anak-anak peneroka membawa semangat juang The Fighters untuk bersaing secara kompetitif dalam saingan Liga Super musim ini.










