KUALA LUMPUR 25 Jan. – Falsafah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang selama ini mendakwa berjuang untuk rakyat disifatkan sudah terbalik sebaik sahaja mula menerajui negara.
Hal ini kerana kerajaan yang jujur sewajarnya melakukan gerak kerja demi kepentingan rakyat, bukannya mengharapkan belas kasihan seperti diperkatakan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar, Rabu lalu berhubung kenaikan tarif air.
Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, tindakan Xavier untuk menagih

simpati tidak sepatutnya berlaku kerana tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan keperluan yang terbaik untuk rakyat.
Shahril Sufian malah membidas hujah dikemukakan iaitu mengaitkan subsidi air bagi memastikan harga rendah dengan penyusutan nilai ringgit.
“Selain meminta simpati rakyat, ada beberapa hujah beliau yang saya rasakan pelik dan tidak betul. Xavier mengatakan harga air tidak boleh rendah selama-lamanya kerana penyusutan nilai ringgit tetapi apa relevannya? Soal penurunan ringgit dengan kegunaan rakyat dalam negara tiada kena-mengena.
“Kalau nilai ringgit rendah sekali pun, bukannya kita perlu mengimport untuk keperluan asas rakyat. Kenyataan itu juga dilihat tidak sepadan dengan laungan mereka selama ini untuk berjuang demi rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Xavier dalam sidang akhbar selepas melakukan

lawatan kerja rasmi ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau 2 di sini Rabu lalu bahawa rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka sewajarnya menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan.
Xavier berkata, ini kerana kos utiliti air yang terpaksa ditanggung kini adalah sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan.
Kenyataan itu dibalas bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyifatkannya sebagai memalukan apatah lagi PH selama ini begitu dikenali dengan laungan atau slogan peduli rakyat.










