DI SEBALIK keghairahan masyarakat India menjadikan sari sebagai pakaian tradisional mereka, wanita Melayu juga boleh memilih fabrik yang sama untuk dijadikan baju kurung, kebaya dan pakaian kasual.
Wanita menggemari sari kerana coraknya yang unik dan buatannya yang halus. Yang pasti, mereka yang gemarkan kelainan akan lebih kreatif dalam membuat potongan fesyen dengan menonjolkan bahagian paling menarik pada kain tersebut. Misalnya, ada yang gemarkan corak tepi yang lebih glamor untuk diletakkan pada pergelangan tangan baju kurung.
Selain itu, fabrik sari yang sarat dengan labuci, manik atau sulaman sering mendapat perhatian pereka-pereka fesyen untuk dijadikan koleksi busana raja sehari.
Ann Khan Exclusive merupakan jenama tempatan yang menampilkan sari sebagai fabrik utama rekaannya. Jenama yang diasaskan pada 2015 ini menggunakan pelbagai sari yang diolah untuk memenuhi kehendak pasaran seperti kurung moden, kebaya hinggalah kepada rekaan kasual.
Pada awalnya, jenama ini memfokuskan jualan kain pasang sari dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan untuk menghasilkan pakaian siap daripada sari.
Kebanyakan koleksi pakaian diberikan nama inspirasi daripada filem-filem dan pelakon Bollywood terkenal seperti Mohabatein, Alia, Juhi, Veerzara, Dilwale, Deewani, Mastani, Rani dan Malini.
Menariknya, pelanggan akan mendapat selendang percuma, dijahit daripada material yang sama dengan baju. Untuk koleksi 2019, Ann Khan Exclusive mereka pakaian kasual Duchess menggunakan broked dari India. Keindahannya terletak pada fabrik sutera timur dengan corak ketimuran daripada sulaman benang emas serta perak.











