KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan empat pemain telah digugurkan daripada kem latihan pasukan muda Harimau Malaya di Bangkok, Thailand kerana kecederaan.
Menurut Kim Swee, pemain terbabit ialah Ariff Ar-rasyid Ariffin, Faisal Abdul Halim, Ariusdius Jais dan Izzan Syahmi Mustapa dan beliau membuat keputusan untuk memanggil seorang pemain baharu daripada pasukan Kedah atau Kelantan.
“Kesemua pemain terbabit diketepikan ekoran kecederaan termasuk Faisal yang terlebih dahulu berada di Bangkok untuk bersama pasukan Pahang dan mengalami masalah yang sama.
“Susulan itu, saya akan mencari seorang pemain gantian bersesuaian daripada pasukan Kedah atau Kelantan untuk bersama kami bagi siri perlawanan persahabatan di Bangkok minggu depan,” katanya kepada pemberita semalam.
Kim Swee ditemui selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas 0-1 pada aksi persahabatan menentang pasukan MIFA di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai semalam.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Melaka itu berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh barisan pemainnya memandangkan mereka hanya menjalani sesi latihan singkat selepas dikumpulkan bersama sejak Rabu lepas.
“Saya gembira dengan aksi ditonjolkan barisan pemain khususnya di bahagian tengah seperti Daniel Amier (Norhisham) dan Nik Akif Syarihan.
“Namun, masih ada beberapa perubahan taktikal yang akan dilakukan memandangkan kita akan mengharungi dua kejohanan penting iaitu Piala AFF B-22 di Kemboja bulan depan serta kelayakan Piala AFC B-23 pada Mac nanti,” katanya.
Skuad muda Harimau Malaya yang akan berlepas ke Bangkok hari ini dijadualkan bertemu dengan Bangkok Glass esok, Army United (16 Januari) sebelum menutup aksi persahabatan menentang Ayutthaya United (18 Januari).










