KUALA LUMPUR 29 Jan. – Pembebasan ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir dikhuatiri akan menimbulkan masalah keselamatan baharu sekiranya tidak dipantau dengan rapi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, walaupun ia merupakan urusan pihak berkuasa Indonesia, namun pemantauan rapi akan tetap dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelakkan pembawa fahaman radikal dan ekstrem itu mengulangi kesalahan lampaunya.
“Pemantauan itu perlu bagi memastikan beliau tidak terbabit merekrut dan menghidupkan kembali perjuangan kumpulan militan Jemaah Islamah (JI) pimpinannya yang sebelum ini mempunyai rangkaian di negara ini sebaik dibebaskan.
“Kita tahu ada kumpulan serpihan yang berkaitan dengan kegiatannya sebelum ini dan ada elemen ini berhubung dengan pihak di sini, jadi kena pantau,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman akan berhubung dengan pihak Polis Republik Indonesia (POLRI) agar pembebasan dalang serangan bom Bali 2002 itu tidak menimbulkan masalah keselamatan baharu.
“Terutama dari segi usaha untuk menghidupkan JI ataupun lain-lain elemen radikal berkaitan dengan kegiatannya itu,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah bersetuju untuk membebaskan Abu Bakar yang berusia 80 tahun atas alasan kemanusiaan.
Namun, Menteri Pertahanan Tertingginya, Wiranto dalam sidang akhbar tergempar beberapa hari selepas itu berkata, Joko telah meminta beliau untuk menyelaraskan kajian terhadap semua aspek pelepasan yang dirancang.
Abu Bakar dijatuhi hukuman 15 tahun penjara pada tahun 2011 kerana membantu mendirikan sebuah kem latihan gaya tentera di Acheh untuk militan Islam.











