SHAH ALAM – Seorang eksekutif jualan mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan pemalsuan ijazah sarjana muda dari sebuah universiti swasta tahun lalu.
Tertuduh, C. Vijayakumar, 34, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah berjumlah RM12,500 daripada Mohd. Izham Mohd. Hashim, 38, sebagai upah mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) di Universiti Multimedia (MMU) atas nama Mohd. Amzar Hashim tanpa mengikut prosedur yang betul.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah restoran di De Centrum Mall, Jalan Ikram Uniten, Kawasan Institusi Bangi pada 25 Januari 2018 kira-kira pukul 3.50 petang.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bukan kakitangan universiti itu turut didakwa menerima suapan RM1,500 daripada Mohd. Izham bagi tujuan sama.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Prima Avenue, Jalan Teknokrat 5, Cyberjaya, Sepang pada 6 April 2018 kira-kira pukul 3.10 petang.
Justeru, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 tertakluk mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon Vijayakumar diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan pasportnya juga perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Badrul Munir Mohd. Bukhari memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut memandangkan anak guamnya mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM3,000 dan terpaksa menyara isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia tujuh bulan.
“Anak guam saya juga menyara ibu bapanya yang sudah tidak bekerja, ayahnya adalah pesara kakitangan kerajaan dan ibunya hanya suri rumah.
“Selain itu, sepanjang tempoh selepas ditahan reman April tahun lalu, anak guam saya memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM termasuk tidak pernah gagal melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan,”ujarnya.
Mohd. Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya juga perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
Beliau juga menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh membayar kos ikat jaminan tersebut. – K! ONLINE










