KUALA LUMPUR 29 Jan. – Sektor digitalisasi diunjur menyumbang sebanyak 21 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2022 dengan perbelanjaan berkaitan teknologi maklumat (IT) mencecah AS$82 bilion (RM336 bilion) untuk tempoh empat tahun.
Pengurus Penyelidik Kanan IDC ASEAN (IDC), Baseer Siddiqui berkata, teknologi baharu muncul dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan dibantu oleh Pelan Induk Industri 4.0 yang diberi penekanan dalam pembentangan Belanjawan 2019, November lalu.
Menurut beliau, institusi kewangan, telekomunikasi, media dan industri peruncitan merupakan peneraju dalam sektor berkenaan kerana telah memulakan inisiatif transformasi dan meletakkan strategi mereka selari dengan negara.
“Malaysia perlu bekerja keras untuk mencapai potensi penuh ekonomi digital di mana pemain industri perlu menggunapakai amalan terbaik dan teknologi baharu muncul untuk kekal mapan serta berdaya saing. Sebanyak 56 peratus organisasi di negara ini masih tidak mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) digital.
“Kerajaan dan vendor IT mempunyai peranan yang besar dalam penetapan dasar, pembangunan bakat baharu dan pelaksanaan penyelesaian yang sesuai untuk membantu pengguna akhir berkembang maju dalam ekonomi digital,” katanya dalam taklimat IDC FutureScapes 2019 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan IDC, Sudev Bangah dan Naib Presiden Bahagian Pembangunan Pertumbuhan Ekosistem Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Abdul Kadir.
Tambah Baseer, menjelang 2023 sebanyak 70 peratus daripada perbelanjaan IT adalah untuk platform teknologi ketiga sementara lebih 50 peratus perusahaan akan membina persekitaran IT sendiri.
Katanya, penggunaan teknologi baharu muncul seperti kepintaran buatan, robotik dan internet untuk segala-galanya (IoT) membolehkan industri di Malaysia mendapatkan hasil yang diinginkan antaranya pengalaman pelanggan, kecekapan tenaga kerja, sumber pendapatan baharu dan model perniagaan.
“Bagaimanapun, jumlah kejayaan adalah masih kecil jika dibandingkan dengan ekonomi digital yang matang. Bagi mencapainya, semua pihak berkepentingan harus bekerja keras serta mempunyai arah tuju jelas dan komprehensif,” jelasnya.
IDC turut menjangkakan pada 2024 semua antara muka pengguna dan proses automasi akan menggantikan satu pertiga aplikasi berasaskan skrin. Menjelang 2022, sebanyak 20 peratus perusahaan akan menggunakan teknologi ucapan untuk melayani pelanggan.










