Sudah hari keempat kita memasuki 2019. Ada yang menyambutnya dengan semangat baharu dan tidak kurang juga masih terasa pahit-pahit kelat 2018. Kita lihat apa yang boleh anda harapkan tahun ini sama ada menjanjikan sinar yang cerah atau sebaliknya.
Pasaran baik atau tidak?
Pada hari terakhir 2018, FBM KLCI menyusut 1.49 mata kepada 1,692.07 mata. Selepas sehari cuti umum Tahun Baharu, pasaran yang dibuka Rabu merosot 22.47 mata kepada 1,668.11 mata. Semalam, ia kembali menokok 7.72 mata kepada 1,675.83 mata.
Keadaan ini masih dipengaruhi sentimen luaran terutama aktiviti perkilangan China yang menguncup kali pertama dalam tempoh dua tahun berikutan unjuran lebih sukar pada 2019 ketika negara kuasa ekonomi itu dalam usaha menangani perang dagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Ringgit turut dipengaruhi pelbagai faktor luaran termasuk perkembangan dalam perdagangan dunia, spekulasi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, harga minyak mentah dan pengukuhan dolar AS.
Ketika ditutup semalam, ringgit susut kepada RM4.1390 berbanding dolar AS. Ringgit memasuki awal 2018 dengan berada pada paras RM4.018 dan melepasi paras RM4 pada 5 Januari dengan mencatat RM3.9960. Empat hari kemudian ia kembali ke paras RM4 untuk tempoh dua hari sebelum bertahan dengan berlegar di bawah paras berkenaan sehingga 19 Jun 2018.
MIDF Research dalam Laporan Prospek 2019 menjangkakan ekonomi negara terus mencabar disebabkan perkembangan dalam perang dagangan dan Brexit yang memberi impak kepada ekonomi global.
Malaysia diunjur mencatat pertumbuhan 4.9 peratus tahun ini manakala ringgit boleh mengukuh ke paras RM4 menjelang akhir 2019.
Pasaran tempatan pula dijangka mencecah 1,830 mata dengan mengambil kira keadaan geopolitik yang turut membayangi sentimen pelabur dalam pasaran ekuiti.
Harga minyak lebih rendah?
Kerajaan meuar-uarkan untuk melaksanakan apungan secara mingguan mulai 1 Januari 2019. Namun, semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga baharu petrol dan diesel hanya akan diumumkan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, harga mingguan RON95 yang diapungkan akan dihadkan pada paras tertentu jika harganya terus meningkat dengan kerajaan akan melaksanakan subsidi sekiranya melebihi RM2.20 seliter.
Kita juga masih tertunggu-tunggu apakah mekanisme subsidi minyak bersasar yang mahu dilaksanakan dijangka suku kedua tahun ini.
Harga minyak mentah Brent ketika ini mencecah AS$54.54 (RM225.95) setong. Menurut Reuters, Brent mengalami kerugian sebanyak 20 peratus manakala West Texas Intermediate pula merosot 25 peratus tahun lalu.
Kaji selidik Reuters mendapati penganalisis menjangkakan Brent akan diniagakan di bawah AS$70 (RM289.99) setong tahun ini disebabkan tekanan dalam pertumbuhan pengeluaran di AS dan pertumbuhan ekonomi yang malap.
Rumah lebih murah?
Laporan Indeks Kediaman Bandar Raya Suku Ketiga 2018 oleh Knight Frank Global menunjukkan harga hartanah di Kuala Lumpur jatuh 0.6 peratus daripada suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018. Persoalannya, adakah rakyat mempunyai kuasa beli? Ini kerana kita tahu berapa nilai hartanah di bandar utama dan berapa pendapatan rakyat (lainlah kalau T20).
Cuma, diharapkan kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat mencari langkah bersesuaian bagi membendung spekulasi dalam pasaran hartanah untuk mengelakkan harga terus melambung dan hanya menguntungkan pihak ketiga. Malah, adalah lebih baik jika ada definisi yang tepat untuk rumah mampu milik bagi memudahkan pembeli rumah pertama.
Hilang pekerjaan
Banyak juga syarikat melaksanakan skim pemberhentian sukarela (VSS) tahun ini bagi mengurangkan kos operasi. Tahun lalu sahaja, seramai 35,000 individu hilang pekerjaan manakala dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, angka itu sudah mencecah 13,099 dengan purata seramai 1,625 orang setiap bulan.
Oktober lalu, laporan portal Chatham House, analisis Penyelidik Kewangan dan Ekonomi Global, Matthew Oxenford dipetik berkata, banyak kesan langsung masih dikesan sehingga ke hari ini akibat masalah kegawatan seperti kadar hutang dalam kalangan negara maju selain isu pengangguran berbanding keadaan sebelum 2008.
Dalam hal ini, Malaysia turut menerima tempias dan dijangka berlarutan hingga 2019 yang mungkin memperlihatkan lebih ramai hilang pekerjaan disebabkan pelbagai faktor termasuk landskap politik.
Menanti pulangan pelaburan
Netizen merungut pulangan Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak seperti diharapkan. Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini menjelaskan, 2018 sangat mencabar kepada pasaran global dan domestik disebabkan normalisasi dasar monetari AS dan aliran keluar dana daripada pasaran baharu serta kebimbangan perang dagangan.
Setakat 20 Disember 2018, indeks FBM KLCI menyusut 8.1 peratus tahun ini menjadikannya empat daripada lima tahun yang mana indeks mencatat pulangan harga negatif dalam persekitaran di mana semua pasaran ekuiti global juga menurun.
Setakat November 2018, portfolio PNB merangkumi 71.2 peratus bagi ekuiti awam, 16.9 peratus (tunai), 6.6 peratus (pendapatan tetap), 2.8 peratus (hartanah) dan 2.1 peratus (pelaburan swasta).
Bagi Lembaga Tabung Haji, kita tahu apa berlaku ketika ini. Apatah lagi, 40 peratus asetnya merangkumi pelaburan dalam saham syarikat senaraian turut terdedah kepada turun naik pasaran kewangan.
Jun lalu, KWSP dilaporkan mencatat kerugian sebanyak RM6.09 bilion menerusi 10 syarikat tersenarai setelah jatuh 12 peratus dalam tempoh sebulan selepas PRU-14.
Bagaimanapun, pada suku ketiga berakhir 30 September 2018, KWSP mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM14.61 bilion, meningkat 12.82 peratus daripada RM12.95 bilion untuk tempoh sama tahun lalu. Ia melabur 40.67 peratus dalam ekuiti, 50.72 peratus (aset pendapatan tetap) dan 3.92 peratus (instrumen pasaran wang).










