KUALA TERENGGANU 30 Jan. – “Kerajaan PH mesti buat keputusan yang tepat mengenai ECRL, tak boleh dolak dalik atau keluk kelik”.
Itu teguran Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang masih belum diketahui statusnya termasuk percanggahan kalangan menteri dalam pakatan itu sendiri.
Menurut Azan, bersesuaian dan selaras dengan nama kerajaan PH, ia semestinya sentiasa tepat dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelak timbul kekeliruan dan kecelaruan kalangan rakyat.
Beliau seterusnya berharap supaya kerajaan PH memberi kata putus mengenai perkara itu dengan secepat mungkin khususnya dalam menangani masalah yang dihadapi ribuan pekerja yang terlibat dalam projek mega tersebut.
“Sebab itulah kerajaan PH (Pakatan Harapan) mesti dilihat mampu buat keputusan yang tepat. Ini kerana nama Pakatan Harapan itu sendiri pun (keputusan yang dibuat) mesti tepat, tak boleh nak berdolak dalik atau keluk kelik,” katanya.
Azan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar menyatakan perkara itu kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini berhubung status projek ECRL yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya. – UTUSAN ONLINE









