ECRL: Menteri keliru Guan Eng, Azmin tidak sependapat - Utusan Malaysia

ECRL: Menteri keliru Guan Eng, Azmin tidak sependapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Seorang menteri Kabinet mengakui keliru dengan percanggahan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Lebih mengejutkan, menteri yang enggan didedahkan namanya itu mengesahkan Mohamed Azmin berada dalam mesyuarat Kabinet, Khamis lalu bagi membincangkan mengenai perkara itu walaupun pada mulanya Guan Eng mengatakan Azmin tidak menghadiri mesyuarat berkenaan. 

Namun begitu, menteri tersebut menjelaskan soal pembatalan projek ECRL itu tidak diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Dalam kes Guan Eng dan Mohamed Azmin, dua kenyataan bertentangan itu membingungkan saya. 

“Guan Eng berkata Mohamed Azmin tidak hadir mesyuarat, maka tidak tahu apa yang berlaku. Tidak, Azmin ada dalam mesyuarat,” katanya seperti dipetik Malaysiakini hari ini. 

Akhbar Straits Times Singapura sebelum ini melaporkan kerajaan dalam langkah mencari kontraktor baharu untuk projek ECRL bagi menggantikan syarikat China, China Communication Construction Company Ltd. (CCCC). 

Kenyataan itu disusuli kenyataan Mohamed Azmin, Sabtu lalu bahawa Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan projek itu kerana kerajaan perlu membayar faedah sebanyak RM500 juta setiap tahun jika ia diteruskan. 

Guan Eng kemudian menjelaskan beliau tidak bermaksud mengatakan Mohamed Azmin tidak menghadiri mesyuarat tetapi mungkin tidak dimaklumkan mengenai beberapa perkara yang diputuskan Dr. Mahathir dalam mesyuarat tersebut. 

Semalam, Guan Eng berkata kenyataan rasmi mengenai status kontrak antara kerajaan dengan CCCC bagi projek ECRL hanya akan dibuat secara bertulis minggu depan memandangkan ia membabitkan sebuah projek mega selain seperti diputuskan Kabinet sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×