JOHOR BAHRU – Dua pegawai Jabatan Laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM120,000, empat tahun lepas.
Tertuduh, Sanizam Bachok dan Nor Yazid Khairi Mohamad Nor membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.
Sanizam, 45, yang ketika itu bertugas di Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan dekat sini, didakwa meminta suapan sebanyak RM70,000 daripada Lim Tiam Lay, 44, pada pukul 6.00 petang di Restoran Subway di Persiaran Ledang pada 25 November 2015.
Wang suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas kapal Hai Tai 1, Hai Tai 2 dan Hai Tai 3.
Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama










