Dua maut kereta dinaiki terbabas, melanggar pokok  - Utusan Malaysia

Dua maut kereta dinaiki terbabas, melanggar pokok 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS – Dua individu maut manakala dua yang lain cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 55 Jalan Ipoh-Lumut di sini awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.30 pagi itu, pemandu kereta berkenaan, Ong Eng Hooi, 54, dan penumpang belakang, Tan Kah Sim, 52, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Chong Boo Khim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki empat individu itu dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala Pantai Remis.

“Tiba di tempat kejadian, kereta jenis Honda Accord dipandu Eng Hooi dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan. 

“Akibatnya, pemandu dan penumpang wanita yang merupakan kakak iparnya cedera parah akibat tersepit dan mereka disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Boo Khim, dua lagi penumpang kereta masing-masing seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun masing-masing mengalami patah kaki kanan dan cedera di tangan. 

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Suhaimi Nijar berkata, lapan anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.31 pagi. 

“Tiba di tempat kejadian, empat mangsa didapati tersepit selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok hiasan di tepi jalan yang mempunyai ketinggian sehingga 15 meter dan sebesar satu pemeluk dewasa. 

“Anggota menggunakan peralatan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.56 pagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN