KLANG – Polis merampas 75 kilogram daun ketum selepas menahan dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Lintang Kapar Setia Empat, Kapar di sini awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia 53 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi oleh sepasukan anggota kereta peronda polis (MPV).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, sebelum ditahan anggotanya terlebih dahulu terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Lorong Haji Abdul Manan, Meru.
Beliau berkata, anggota MPV cuba menahan kereta suspek, bagaimanapun mereka terus memecut melarikan diri.
“Bagaimanapun, anggota MPV berjaya menahan kereta tersebut di Jalan Lintang Kapar Setia Empat selepas melarikan diri hampir enam kilometer.
“Pemeriksaan di dalam kereta terbabit telah menemui 15 plastik hitam mengandungi daun ketum yang disembunyikan di tempat duduk belakang dan but kereta,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nurulhuda, anggaran berat daun ketum terbabit adalah seberat 75 kilogram dan nilainya RM1,200.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Klang esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE










