GOMBAK – Seorang bapa menemui ajal bersama anak perempuannya dalam satu kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Batu 29 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh di sini pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Shamsor Kamar Jamberi, 43, dan anak perempuannya, Nor Shahira, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala mereka manakala isterinya, Norzaimah Busu, 38, dan anak bongsunya, Nor Shazwina, 9, mengalami kecederaan di tubuh mereka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Azman Shari’at berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.17 pagi itu berhampiran tanah perkuburan Sungai Choh itu, kereta jenis Proton Waja yang dipandu Shamsor Kamar berlanggar dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 18 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari Sungai Choh menghala ke Rawang bertembung dengan kereta Shamsor dari arah bertentangan yang memasuki laluannya.
“Pemandu pacuan empat roda itu cuba mengelak tetapi terlanggar bahagian kanan kereta yang dipandu oleh Shamsor sehingga menyebabkan dirinya dan anak perempuan maut serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azman menambah, isteri dan anak bongsunya yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan manakala mayat Shamsor dan Nor Shahira dibawa ke Unit Forensik hospital yang sama untuk tujuan dibedah siasat.
“Pemandu pacuan empat roda itu hanya mengalami cedera ringan di tangannya.
“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE










