SEBERANG PERAI – Empat lelaki termasuk dua adik-beradik yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam di sini awal pagi tadi.
Suspek berusia di antara 16 hingga 27 tahun itu ditahan dalam serbuan berkenaan di antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, menerusi serbuan pertama, pihaknya menahan dua beradik berusia 16 dan 20 tahun di sebuah rumah di Cherok Tok Kun.
Menurutnya, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang selain enjin, rangka, rim dan ekzos motosikal di rumah mereka.
“Dalam serbuan berikutnya di sebuah rumah di Taman Alma Jaya, kita menahan suspek ketiga berusia 27 tahun dan merampas sebuah motsikal Honda EX5.
“Seterusnya, menerusia serbuan ketiga, suspek keempat berusia 16 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Pinggiran Alma bersama sebuah motosikal jenis sama,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Nik Ros Azhan berkata, serbuan itu dibuat susulan laporan kehilangan sebuh motosikal jenis Honda EX5 oleh seorang suri rumah berusia 45 tahun di Taman Impian Indah, Bukit Mertajam pada Jun tahun lalu.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas kesemua suspek mendapati mereka mengaku terlibat dalam kegiatan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE









