Doctor Run 2019 tawar hadiah keseluruhan RM15,000 - Utusan Malaysia

Doctor Run 2019 tawar hadiah keseluruhan RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Program kesihatan berunsurkan larian, Doctor Run 2019, menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta dan menawarkan hadiah cabutan bertuah  sehingga RM15,000.

Penyelaras Program, Ilzamy Nabhani berkata, tujuan program itu diadakan ialah untuk mengumpul dana membantu Tabung Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) yang merupakan platform meningkatkan kesedaran kesihatan untuk masyarakat yang berorientasikan keilmuan.

Katanya, dengan bertemakan ‘Health Is Precious, Together We Care’, setiap dana akan disalur untuk membantu  bagi membiayai kos-kos operasi serta aktiviti yang berlandaskan keilmuan dan penjagaan kesihatan.

“Perdim merupakan pertubuhan kedoktoran yang aktif dalam menjalankan program-program berorientasikan keilmuan dan kesihatan bagi kepentingan masyarakat.

“Program pada 24 Mac ini akan bermula seawal 6 pagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Menurut Ilzamy, program itu turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang.

“Menariknya, Doctor Run 2019 adalah acara larian kompetitif pertama berunsurkan kebajikan melibatkan doktor, pengamal penjagaan kesihatan, pelajar perubatan, golongan profesional dari industri penjagaan kesihatan dan masyarakat,” katanya.

Ujar Ilzamy, dana yang dikumpulkan daripada acara ini akan digunakan bagi pelbagai perbelanjaan pengoperasian pertubuhan termasuk program pendidikan kesihatan.

“Ia termasuk kajian selain usaha menambah baik sistem kesihatan klinik dari sudut profesional selain memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, Perdim berharap acara ini akan menjadi program tahunan dan dapat memupuk kesedaran terhadap pentingnya aktiviti fizikal bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

“Kesihatan adalah penting dan aktiviti bersenam seperti berjalan dan berlari merupakan aktiviti atau pergerakan yang paling mudah dilakukan oleh manusia selain boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur,” katanya.

Menurut Ilzamy, aktiviti itu jika dilakukan secara konsisten dapat mengaktifkan otot-otot dan melancarkan lagi peredaran darah ke seluruh organ badan sekali gus menjadikan tubuh badan lebih sihat dan cergas.

Orang ramai diminta melayari http://checkpointspot.asia/DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run https://www.facebook.com/doctorrun2019/ untuk maklumat lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×