JOHOR BAHRU 29 Jan. – Dewan Muda Johor (DMJ) menyanjung tinggi tindakan Malaysia yang tidak tunduk kepada tekanan Israel untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia, Julai ini.
Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang, Integriti dan Antarabangsa DMJ, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik berkata, langkah itu perlu dipuji dan disokong.
“Tindakan tegas Kerajaan Malaysia wajar dicontohi pemimpin segenap dunia demi menyatakan sokongan penuh terhadap rakyat Palestin, sekali gus membantah kekejaman Israel terhadap mereka.
“DMJ melihat perkara ini sebagai satu metod yang utuh atas kebangkitan suara Malaysia dalam isu penindasan dan penafian hak rakyat Palestin.
“Tindakan keras Malaysia adalah selari dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Sebelum ini Perdana Menteri tidak membenarkan atlet Israel bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang berlangsung di Sarawak pada Julai ini.
Pada 22 Januari lalu Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak dapat menerima atlet Israel oleh kerana mereka datang dari sebuah negara penjenayah.
Noor Asyikin Shafiqah berkata, tindakan itu bukan satu bentuk diskriminasi ke atas Israel seperti yang dituduh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) kerana Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk menghalang kemasukan rakyat Israel ke negara ini.
Insiden tersebut katanya, secara tidak langsung telah menjadikan Malaysia sebagai perbualan hangat serata dunia.
DMJ berharap katanya, tindakan seperti ini akan memberi tekanan kepada Israel untuk tidak meremehkan hak asasi manusia.
Walaupun mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, DMJ akan terus berdiri teguh bersama-sama Kerajaan Malaysia dalam isu ini.
“Keputusan ini mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel kerana dilihat sebagai platform penting bagi mereka.
“Namun pegangan kerajaan Malaysia tegas dan tidak goyah, mengakibatkan IPC menarik balik hak Malaysia sebagai penganjur,’ ujarnya. – UTUSAN ONLINE










