KUALA LUMPUR – Disebabkan tidak tahan dengan komen-komen negatif yang ditinggalkan oleh seorang individu di Instagram, penyanyi Baby Shima membuat laporan polis.
Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 27, berkata, dia bertindak demikian kerana mahu memberi pengajaran kepada pengguna Instagram lain supaya bersopan santun ketika meninggalkan respon di media sosial.
“Individu yang dikenali dengan nama Syafiqah itu selalu meninggalkan komen yang bukan-bukan terhadap gambar-gambar saya.
“Selain menggelarkan saya sebagai pelacur, dia juga meminta agar saya cepat mati. Agak keterlaluan, saya kemudiannya membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Baby Shima membuat laporan polis di Balai Polis Cyberjaya semalam.
Selepas laporan dibuat, individu terbabit menghantar pesanan peribadi kepada bekas peserta Big Stage itu dan memberi alasan akaun Instagramnya digodam.
“Tanpa meminta maaf, dia memberi alasan bahawa akaun Instagramnya digodam.
“Sukar untuk percaya kerana sebelum ini, dia aktif memuat naik gambar dan Instagram Story,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Baby Shima turut berpesan kepada khalayak supaya menjaga tata tertib dan menggunakan media sosial secara berhemah.
“Saya berharap agar perkara sebegini tidak berulang kembali dan semua pengguna media sosial dapat menjaga ‘mulut’ di alam maya,” katanya.
Terdahulu, nama Baby Shima menjadi panas selepas gambarnya disalah guna dalam laporan sebuah program hiburan di Indonesia berhubung kes enam artis wanita yang didakwa melakukan aktivit pelacuran. – K! ONLINE










