SHAH ALAM – Kumpulan rock terkenal dari Indonesia iaitu Dewa 19, akan membuat penampilan khas dalam satu konsert amal anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor, 2 Februari depan.
Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL itu dengan kerjasama Nizra Production Sdn. Bhd. akan diadakan di Stadium Melawati, di sini.
Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, penganjuran konsert tersebut adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah.
Katanya, hasrat tersebut adalah seperti diilhamkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga penaung dan pengerusi Pemadam Selangor.
“RM2 daripada setiap jualan tiket akan disumbangkan ke dalam Tabung Pemadam Negeri Selangor untuk aktiviti serta program Pemadam Selangor.
“Kutipan amal ini akan dimanfaatkan dalam bentuk program-program kesedaran, antaranya Jelajah Anti Dadah dalam menjelaskan ancaman dadah terbaharu seperti New Psychoactive Substance (NPS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE










