PORT DICKSON 12 Jan. – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menguatkuasakan denda bagi kehilangan dan kerosakan pasport Malaysia mulai 2 Januari lalu ekoran jumlah kehilangan dokumen itu meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, sebanyak 83,617 kes kehilangan pasport dilaporkan tahun lalu, berbanding 75,600 kes pada 2017 dan 44,528 (2016).
“Peningkatan ketara itu mendorong JIM melaksanakan denda iaitu RM200 bagi kehilangan kali pertama, RM500 (kali kedua) dan RM1,000 (kali ketiga). “Denda yang dikenakan itu bertujuan mendidik pemegang pasport supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati menjaga dokumen keselamatan negara itu. Kita mahu pastikan pemegang pasport menjaga dengan rapi dan tak ambil mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Kawalan Kehormat Penolong Penguasa Imigresen KP29 Siri 1 Tahun 2018 di Akademi Imigresen Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif Pusat Antijenayah Kewangan Nasional, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Mohamad Fauzi Md. Isa.










