WASHINGTON 4 Jan. – Parti Demokrat yang kini menguasai Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan undang-undang yang disokong Speaker, Nancy Pelosi bagi mengakhiri penutupan operasi atau shutdown agensi kerajaan.
Keputusan itu juga dibuat tanpa mengendahkan desakan Presiden Donald Trump yang memohon dana bagi membangunkan tembok sempadan antara negara ini dengan Mexico yang bernilai AS$5 bilion (RM20.6 bilion).
Sehubungan itu, Trump mengancam untuk menggunakan kuasa vetonya bagi memastikan impiannya tercapai.
Undang-undang yang diluluskan itu bakal menyaksikan Dewan Perwakilan akan membiayai operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sehingga 8 Februari ini termasuk beberapa agensi lain sehingga September 2019.
Secara keseluruhan, Kongres dianggotai seramai 235 ahli Demokrat dan 199 Republikan.
1 Pelosi dilantik sebagai Speaker
Pelosi merupakan anggota veteran Demokrat dari California dan pelantikan beliau buat kali kedua seiring dengan sambutan ke-100 tahun penglibatan golongan wanita di negara ini diberi hak untuk mengundi.
Speaker menegaskan bahawa beliau tidak akan akur dengan gesaan Trumpuntuk meluluskan pembiayaan pembinaan tembok sempadan AS dengan Mexico.
Speaker Dewan Perwakilan merupakan antara tiga jawatan paling berkuasa di Washington.
2 Kongres dianggotai 100 ahli wanita
Kongres ketika ini dianggotai lebih 100 ahli wanita daripada kedua-dua parti politik dan mencatatkan jumlah terbesar dalam sejarah AS.
Ada di antara mereka yang mengangkat sumpah buat kali pertama sebagai anggota Kongres termasuk pelantikan seorang wanita beragama Islam dan paling muda.
Selain itu, Alexandria Ocasio-Cortez pula merupakan anggota Kongres termuda manakala Deb Haaland dan Sharice Davids menjadi dua wanita kaum asli AS pertama menganggotai Kongres.
Sehingga semalam, terdapat 102 wanita dilantik anggota Kongres dengan 36 daripadanya baharu dilantik selain mencatatkan 43 anggota wanita berbilang etnik.
3 Rashida Tlaib dan Ilhan Omar
Rashida dan Ilhan merupakan dua wanita beragama Islam pertama dari Demokrat terpilih menjadi anggota Kongres.
Rashida dilahirkan di Detroit dan keluarganya berasal dari Palestin manakala Ilhan pula tiba di negara ini ketika kecil dari kem pelarian di Kenya selepas melarikan diri dari perang saudara di Somalia.
Kedua-dua wanita tersebut mengangkat sumpah dengan al-Quran sambil memakai baju tradisional masing-masing.
4 Tiada pembiayaan tembok sempadan
Pelosi menyifatkan bahawa permohonan Trump untuk mendapatkan pembiayaan tersebut sebagai antara realiti dan demi kepentingannya.
“Kita tidak akan membina tembok sempadan. Adakah sesiapa ragu-ragu jika kita tidak membangunkan tembok?,” soalnya kepada media semalam.
Trump sebelum ini menegaskan bahawa keselamatan negara ini boleh terjejas jika tiada tembok keselamatan dibangunkan sambil merujuk kepada kawasan sempadan antara AS dengan Mexico.
5 Trump bakal disiasat
Penguasaan Demokrat di Dewan Perwakilan juga bakal menyaksikan Trump bakal disiasat berhubung pentadbirannya.
Sepanjang dua tahun perkhidmatannya sebagai Presiden negara ini, Trump dianggap sebagai seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak berpandangan jauh.
Perkara itu dinyatakan oleh pengerusi baharu Jawatankuasa Dewan Kehakiman, Jerry Nadler dan beliau memaklumkan bahawa mereka bakal mengemukakan sepina jika perlu.
Antara isu tumpuan yang boleh disiasat termasuk polisi anti pendatang yang diperkenalkan oleh Trump terutamanya melibatkan isu memisahkan anak-anak golongan tersebut daripada jagaan keluarga mereka.
Selain itu, Trump juga merupakan seorang daripada Presiden AS yang enggan mendedahkan bayaran cukai kepada kerajaan dan didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu bersama bapanya, Fred Trump.
6 Reaksi Trump
Beliau mengucapkan tahniah kepada Pelosi atas kejayaan dilantik sebagai Speaker Dewan Perwakilan dan menyatakan beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan wanita tersebut.
Trump juga dijangka mengadakan pertemuan buat pertama kali dengan Pelosi esok.










