Demi pekerja Megat Sallehudin bangkit - Utusan Malaysia

Demi pekerja Megat Sallehudin bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelbagai cabaran dan hampir menemui kegagalan dalam perniagaan tetapi Pengarah Urusan Megasoft Network Sdn. Bhd. ini tidak pernah berputus asa.

Pengalamannya bekerja dengan sebuah syarikat swasta dalam bidang sistem maklumat geografi (GIS) dijadikan cabang perniagaan utama syarikatnya. Selain GIS, syarikatnya turut terlibat dalam cabang perniagaan lain antaranya adalah pembangunan perisian, perkhidmatan pesawat tanpa pemandu (UAV), multimedia, latihan grafik dan pengeluaran produk penjagaan kecantikan berjenama Voqq.

Bagi Datuk Megat Sallehudin Megat Ibrahim, 39, beliau tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Mengakui 2019 menjadi tempoh yang agak sukar bagi kebanyakan usahawan, beliau tetap optimis dalam perniagaan. Beliau menganggap kegagalan adalah pengalaman indah dan mengajarnya untuk terus bangun membina empayar perniagaan yang telah diceburi sejak 2005.

Bapa kepada empat orang anak itu memberitahu, suka duka yang ditempuhinya dalam perniagaan mematangkan dirinya untuk menjadi lebih kuat, berani dan bersemangat dalam usaha membawa empayar perniagaannya lebih maju ke hadapan.

Cabaran perit yang pernah beliau hadapi ketika mengalami kerugian hampir RM500,000 ekoran sedikit masalah teknikal dalam proses penghantaran cadangan permohonan projek baharu kepada sebuah agensi kerajaan.

Hampir seminggu beliau murung, tidak bermaya dan lemah semangat untuk menjejakkan kaki ke pejabatnya.

Menurutnya, sebagai majikan kepada sebuah syarikat kecil, bukan duit yang dirisaukan. Namun bagaimana caranya beliau mahu membayar gaji ekoran pendapatan syarikat yang terjejas dan sudah tentu kesannya turut dirasai oleh semua pekerjanya.

Nekad untuk bangun semula dan membayangkan wajah-wajah para pekerjanya yang begitu setia dengan syarikat membuatkan Megat Sallehudin kembali bersemangat dan aktif mencari peluang projek baharu.

Hikmah di sebalik kegagalan itu, syarikatnya kini terus berdiri kukuh dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dan perubahan teknologi maklumat yang makin canggih.

Ditanya mengapa GIS menjadi pilihan, katanya, pada 2005 masih kurang bumiputera menceburi bidang tersebut dan beliau berusaha mempelajari industri berkenaan termasuk berurusan dengan pelanggan korporat dan agensi kerajaan.

Jelas beliau, GIS adalah sebuah sistem pengurusan maklumat berkomputer untuk tujuan pengurusan maklumat, pengolahan, penganalisaan dan pengeluaran maklumat yang sering dikaitkan dengan data berbentuk peta dan pelan.

“Sistem ini masih baharu dan saya yakin, ia berpotensi untuk diperluaskan pada masa depan. Apatah lagi saya yang berjiwa muda memiliki banyak idea baharu untuk dikongsi bersama pelanggan. Atas sokongan rakan dan modal permulaan sebanyak RM10,000 perniagaan mula beroperasi di sebuah pejabat kecil di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Syarikat saya terlibat dalam projek berkaitan GIS dan ditawarkan kepada agensi kerajaan khususnya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,” katanya.

Mengakui pada peringkat awal, beliau agak sukar menembusi pasaran kerana posisi syarikat yang masih kecil dan baharu.

Namun berkat kegigihan Megat Sallehudin mempromosikan dan membida pelbagai projek, rezekinya makin meluas. Ini kerana keunikan perisian yang digunakan dalam GIS yang ditawarkan kepada pelanggan lebih bersepadu, lebih ke hadapan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.

“Ketika itu, Megasoft Network menjadi salah sebuah syarikat bumiputera perintis dalam bidang GIS di negara ini,” ujarnya.

Kini, selain sibuk menguruskan perniagaan, Megat Sallehudin dan kakitangannya turut menyusun jadual dalam projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengedarkan makanan kepada gelandangan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit.

“Kami akan peruntukkan sehari dalam seminggu untuk mengedarkan makanan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan di situ kami dapat berkenalan dan beramah mesra dengan kumpulan tersebut.

“Ternyata ini memberi kepuasan saya membantu komuniti dan memberi semula rezeki yang saya manfaatkan dengan golongan yang susah di luar sana,” jelasnya.

Nasihat Megat Sallehudin pada usahawan baharu, jangan terlalu yakin dengan apa yang dilakukan. Sebagai majikan, semak semula dengan teliti setiap urus niaga dan transaksi perniagaan yang dijalankan. Ini kerana sedikit kesilapan yang dilakukan akan membawa seribu kerugian dan penyesalan yang bakal memakan diri sendiri.

INFO

Nama: Datuk Megat Sallehudin Megat Ibrahim

Umur: 39 tahun

Kerjaya: Pengarah Urusan Megasoft Network Sdn. Bhd.

Falsafah: 
n Berani

n Tidak cepat putus asa

n Jangan mudah percaya orang

n Bertanggungjawab

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN