DAP mula mainkan sentimen simpati - Utusan Malaysia

DAP mula mainkan sentimen simpati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 21 Jan. – Naib Presiden DAP, M. Kulasegaran mengakui bukan mudah untuk meraih undi masyarakat Orang Asli yang menjadi faktor penentu kepada kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sebaliknya, kata beliau, lebih banyak aktiviti turun padang harus dilakukan kerana terdapat ramai antara mereka tidak mengetahui bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebenarnya berada di bawah kerajaan Persekutuan.

Kulasegaran mendakwa, Barisan Nasional (BN) telah mengelirukan masyarakat Orang Asli dengan mengatakan bahawa agensi kerajaan yang menjaga hal ehwal golongan peribumi itu berada di bawah mereka.

“Namun begitu, kita yakin orang ramai akan kembali memberikan sokongan kepada kita dalam ujian utama ini selepas tujuh bulan berkuasa.

“Yang menjadi perhatian kita ialah kebanyakan pengundi yang berada di luar Cameron Highlands. Jadi, kita menggesa mereka untuk pulang bagi menjalankan tugas demokratik mereka,” katanya.

Kulasegaran berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Thaipusam dekat Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kulasegaran turut meminta masyarakat Orang Asli supaya berfikir dengan teliti sebelum membuat keputusan dalam pengundian kelak.

“Seluruh Malaysia telah memilih untuk kerajaan baharu. Oleh itu, saya juga pasti anda tidak mahu kembali kepada kerajaan lama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN