CVC tingkat pendidikan Orang Asli - Utusan Malaysia

CVC tingkat pendidikan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menetap di kawasan pedalaman dan begitu dekat dengan kekayaan hasil hutan menjadikan kelompok masyarakat Orang Asli ini hidup dalam persekitaran tersendiri.

Siapa sangka daerah Semenyih di Selangor yang terletak berdekatan ibu kota masih dihuni sekumpulan masyarakat Orang Asli. Mereka menetap di Kampung Kachau Luar dan mungkin ramai dalam kalangan kita tidak tahu mengenainya.

Menyentuh mengenai kehidupan masyarakat ini, pasti ada beranggapan bahawa mereka mampu meneruskan kehidupan daripada sumber hutan di sekeliling mereka.

Namun, hakikatnya boleh dikatakan kehidupan mereka ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan jika dilihat pada aspek pendidikan, ternyata majoriti daripada mereka memilih untuk menamatkan pelajaran di peringkat sekolah rendah.

Menyedari hal ini, beberapa pihak yang prihatin mengambil inisiatif bagi menggalakkan proses pembelajaran kanak-kanak Orang Asli di kampung itu. Proses itu berlaku dalam suasana yang menyeronokkan.

Salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat adalah Celik Volunteer Club (CVC). Baru-baru ini, pertubuhan itu memulakan sebuah program pendidikan khas untuk kanak-kanak Orang Asli iaitu Kelas Alam Semula Jadi (Nature’s Classroom). Kelas itu diadakan pada setiap Ahad.

‘‘Pada mulanya, kami mengadakan kelas pembelajaran formal di surau. Bagaimanapun, kami dapati langkah itu kurang berkesan kerana kanak-kanak Orang Asli tidak mampu memberikan fokus sepenuhnya terhadap pembelajaran.

“Jadi, kami mencipta inisiatif baharu melalui kerjasama universiti awam. Hasilnya adalah kelas alam semula jadi ini,’’ kata Presiden CVC, Dr. Muhammad Heikal Ismail kepada Mega Rona.

Tambahnya, kaedah itu adalah proses pembelajaran yang menggabungkan elemen menyeronokkan kerana pihak CVC memanfaatkan perkara yang paling dekat dengan kanak-kanak Orang Asli seperti menggunakan bunga, daun dan ranting bagi membentuk huruf.

Ternyata idea bagi mengukuhkan pengetahuan kanak-kanak terbabit berjaya apabila mereka dilihat lebih fokus dan seronok menimba perkara baharu.

Menurut Muhammad Heikal, pihak CVC turut mempelbagaikan lokasi pembelajaran di luar kawasan tertutup seperti belajar di dalam hutan serta di dalam anak sungai bagi menarik perhatian mereka selain menaikkan rasa teruja untuk menyertai proses 
belajar yang diadakan setiap minggu.

Program yang melibatkan kira-kira 20 kanak-kanak Orang Asli berusia antara empat hingga 11 tahun itu telah memberikan tindak balas yang cukup positif apabila mereka menunjukkan usaha untuk menerapkan pembelajaran yang diperoleh sewaktu berada di rumah.

‘‘Sebenarnya mereka menghargai apa sahaja pemberian daripada orang luar, bukan hanya dalam bentuk barangan, malah ilmu pengetahuan baharu yang diperoleh sewaktu menyertai program ini. Kaedah ini berjaya menambah minat mereka terhadap asas dalam bidang akademik.

“Ibu bapa juga gembira apabila anak-anak mereka mula menulis huruf dan perkataan sebagai latihan ketika mereka berada di rumah,’’ tambahnya.

Berkongsi mengenai kandungan pembelajaran yang diajar, Muhammad Heikal menyedari bahawa kanak-kanak ini perlu dikukuhkan terlebih dahulu dengan asas yang paling bawah.

Buat permulaan, beliau memperkenalkan huruf vokal terlebih dahulu dan sekiranya mereka memahami dan mengingati dengan baik bentuk huruf berkenaan, maka proses pembelajaran akan disusuli dengan huruf konsonan dan akhir sekali mengenai sistem ejaan.

“Perancangan secara berperingkat ini lebih mudah dan tidak membebankan kanak-kanak Orang Asli untuk menerima setiap perkara yang mereka pelajari,” ujarnya.

Beliau melihat program sebegini mempunyai potensi yang jauh bagi mengelakkan mereka berhadapan dengan masalah buta huruf.

“Kami masih kekurangan sukarelawan yang berkemungkinan disebabkan faktor geografi yang memerlukan sukarelawan menjelajah sehingga ke kawasan berbukit.

“Dalam hal ini, kesedaran orang ramai terutama generasi muda amat diperlukan dalam menambah baik setiap aktiviti yang kami aturkan,’’ katanya.

Selain Kelas Alam Semula Jadi, CVC turut mengadakan program Celik Talent yang menekankan pendidikan tidak formal bagi kanak-kanak lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Program ini dibangunkan bagi mengembangkan kemahiran kanak-kanak Orang Asli melalui sesi mempelajari seni melukis batik, kelas masakan serta membuat kek.

“Ini adalah pendekatan yang membolehkan mereka memanfaatkan kemahiran sedia ada untuk menjana pendapatan sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN