KUALA LUMPUR 4 Jan. – Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail percaya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tepat jika menyambung kontrak Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Harimau Malaya.
Beliau bagaimanapun mahu badan induk bola sepak negara itu membuat keputusan cepat supaya kedudukan Cheng Hoe tidak menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
“Seperti saya kata sebelum ini, beri masa tiga tahun untuk menilai prestasi Cheng Hoe sebagai jurulatih. Dari segi corak permainan saya lihat adalah baik dan teratur cuba beberapa posisi seperti pertahanan dan serangan perlu diperbaiki.

“Sepanjang tempoh setahun saya mengikuti perkembangan pasukan negara di bawah kendalian Cheng Hoe, dapat lihat banyak peningkatan dan paling jelas adalah ketika saingan Piala AFF.
“KPI (petunjuk prestasi utama) diletakkan FAM, dia sudah lepas maka saya tidak lihat sebab kontraknya tidak disambung dan peminat juga tertunggu-tunggu apa jawapannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sejak dilantik menggantikan Nelo Vingada pada Disember 2017, Cheng Hoe mengendali Harimau Malaya mengharungi 17 perlawanan dengan melakar lapan kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.
Bekas jurulatih Kedah itu juga, berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan membawa pasukan Harimau Malaya layak ke pentas akhir Piala AFF walaupun pada mulanya kebanyakan peminat meluahkan rasa tidak puas hati dengan pemilihan barisan pemain.
Jamal yang juga bekas pemain pertahanan yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata, FAM juga disarankan menambah beberapa jurulatih baharu bagi membantu Cheng Hoe di setiap posisi.
Jelasnya, pengkhususan jurulatih perlu ada kerana setiap pasukan yang bagus memerlukan kepakaran di setiap bahagian.
“Macam sekarang ini kita ada ketua jurulatih dan jurulatih penjaga gol, jadi kita ambil jurulatih untuk bahagian pertahanan, tengah dan serangan bagi memperbaiki setiap kelemahan secara terperinci,” tambahnya.










