CAMERON HIGHLANDS 15 Jan. – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran menggesa Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) mengkaji semula kadar caj parkir yang disifatkan sebagai mahal dan melampau sehingga membebankan penduduk.
Manogaran mendakwa, hal tersebut berlaku berikutan pelantikan ahli majlis dibuat atas dasar kronisme yang bukan terdiri daripada orang tempatan dan tidak dapat memahami masalah penduduk setempat.
Justeru beliau mahu MDCH mengamalkan sikap telus dan mengkaji semula kadar caj parkir berkenaan serta bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat Cameron Highlands.
“Kadar tersebut jauh lebih mahal berbanding bandar besar seperti Kuantan yang hanya mengenakan caj kira-kira RM52 sebulan berbanding di Cameron Highlands iaitu kira-kira RM80 untuk tempoh sama.
“Apa yang saya kecewa ada perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri dibuat tetapi MDCH kata ia tertakluk dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saya sebagai peguam menyifatkan ini tidak betul. Setiap undang-undang boleh tukar. Yang penting beri ruang kepada penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Pesta Ponggal di sini hari ini.
Sementara itu, Manogaran mencabar kerajaan negeri Pahang menyelesaikan segera isu berkaitan termasuk tanah lesen pendudukan sementara.
Menurutnya, jangka masa lama setiap permohonan tanah itu merupakan sesuatu yang tidak masuk akal sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
“Mengapa ambil masa terlalu lama sehingga kurang 10 permohonan dalam tempoh sebulan?
“Jika Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kata kami (PH) tidak boleh campur tangan, beliau kena selesaikannya,” kata beliau.
dan jangan biarkan penduduk datang dan mengadu kepada kita,” jelasnya.










