Buruh dipenjara 6 bulan cederakan bekas isteri - Utusan Malaysia

Buruh dipenjara 6 bulan cederakan bekas isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 17 Jan. – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang buruh selepas dia mengaku bersalah memukul bekas isterinya termasuk menarik rambut wanita itu, pada November lalu.

Majistret Mohd. Nazrin Abdul Rahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap S. Sathiya, 35, yang bekerja sebagai buruh pemasangan pintu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sathiya didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan di bahagian kepala termasuk menarik rambut bekas isterinya N. Siva Sangari, 33, di sebuah rumah pangsa di Sri Siantan di sini pada pukul 9 malam, 21 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Sathiya yang tidak diwakili peguam meminta agar hukuman penjara terhadapnya diringankan kerana terpaksa menanggung seorang anak berusia enam bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin mencadangkan kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd. Nazrin memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 November lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN