Bursa Malaysia diunjur positif 2019 - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia diunjur positif 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum positif suku keempat 2018 apabila memasuki suku pertama tahun ini untuk mencecah ketahanan psikologi pada 1,800 mata.

Bagaimanapun, indeks FBM KLCI yang ditutup petang ini susut 22.47 mata atau 1.33 peratus kepada 1,668.11 mata, lebih rendah berbanding 1,690.58 mata pada Isnin lalu.

Bagi prestasi mata wang pula, ringgit ditutup pada paras RM4.1350 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.1300 pada 31 Di­sember 2018.

Menurut Kenanga Research, trajektori menaik boleh dicapai jika kedudukan sokongan pada 1,630 mata terus meningkat dan sokongan psikologi pada 1,600 mata kekal kukuh.

Katanya, suku pertama lazimnya lebih kukuh dari segi ­prestasi pasaran berbanding suku kedua dan ketiga.

“Indeks dijangka tidak ba­nyak berubah antara 1,600 mata dan 1,900 mata jika tiada sebarang berita negatif utama muncul.

“Prestasi pasaran juga disokong oleh potensi kenaikan tahap kadar Amerika Syarikat (AS) yang perlahan dan di­jangka menjurus kepada penyusutan indeks dolar AS,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Oleh itu, Kenanga Research menjangkakan pengaliran keluar asing akan menjadi lebih terurus pada masa depan.

Selain itu, apabila ringgit secara relatifnya murah dan didagangkan pada kedudukan terendah dalam tempoh dua dekad berbanding mata wang lain di Asia, pasaran ekuiti Malaysia akan menjadi lebih kompetitif.

Mengenai risiko, firma penyelidikan itu berkata, kebimba­ngan ke atas penilaian pasaran dengan pengaliran keluar bersih dana asing sebanyak RM3.16 bilion pada suku keempat 2018 berbanding RM1.71 bilion pada suku sebelumnya akan menjejaskan prestasi pasaran.

“Faktor lain ialah harga mi­nyak yang lemah pada AS$55 (RM227.56) setong bagi Brent dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kurang menarik serta unjuran yang lemah.

“Namun, kami yakin pasaran tempatan masih dalam jajaran yang tidak banyak berubah sehingga pemangkin penarafan semula yang signifikan,” katanya.

Dalam pada itu, RHB Research Institute menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 pe­ratus, yang akan mengekalkan kestabilan ringgit berbanding dolar AS dengan mengambil kira pengetatan monetari oleh Rizab Persekutuan AS serta pengukuhan dolar.

“Untuk masa depan, kami menjangkakan M3 dan pinjaman Malaysia berkembang pada kadar yang sihat sebanyak 5.5 peratus dan 5.2 peratus pada 2019, daripada anggaran ma­sing-masing sebanyak 5.2 peratus dan lima peratus bagi 2018,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN