Bunuh dua berdik: Suspek ada tekanan mental - Utusan Malaysia

Bunuh dua berdik: Suspek ada tekanan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


YAN 9 Jan. – Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang diberkas selepas disyaki mengelar dan menetak dua beradik di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, di sini mengalami tekanan mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, walau bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat motif sebenar serangan suspek yang merupakan kenalan bapa kedua-dua mangsa itu.


“Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek yang berusia 49 tahun itu juga belum memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat, namun kita berjaya mendapatkan beberapa maklumat berkaitan.


“Polis juga telah menemukan dua bilah parang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu di sebatang jalan dan rumah suspek yang tinggal di kampung sama,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya, Mohammad Hafiz, 1, maut di bilik tidur mereka selepas ditetak dan dikelar suspek.


Tambah Mior Farid Al Athrash, polis akan mengambil keterangan bapa mangsa berikutan saksi di tempat kejadian memaklumkan suspek memanggil nama lelaki itu ketika tiba di tempat kejadian.


“Polis juga akan memanggil kesemua yang berada di rumah itu serta lokasi kejadian bagi mendapatkan keterangan yang lebih kukuh untuk kegunaan pertuduhan di mahkamah.


“Masyarakat juga diminta tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berhubung kejadian ini termasuk mendakwa motif yang belum dipastikan, biar polis siasat,” katanya yang memaklumkan suspek kini direman selama seminggu sehingga 15 Januari ini.


Beliau juga mengesahkan suspek yang berstatus duda itu turut menyerang seorang penduduk lain, sebelum meluru ke rumah mangsa termasuk mencederakan bapa saudara dua beradik itu.


Dalam pada itu, tinjauan mendapati jarak antara rumah mangsa dan suspek hanya kira-kira 300 meter dan suspek dipercayai tinggal berseorangan selepas berpisah dengan isterinya, kira-kira dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN