KUALA LUMPUR 21 Jan. – Ahli Parlimen Setiawangsa mewakili Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad meminta semua pihak khususnya individu penting dalam negara untuk mengekalkan sikap profesional dalam semua fahaman yang berbeza.

Beliau berkata, tindakan itu sekurang-kurangnya sejajar dan konsisten berdasarkan dengan kritikan yang dibuat ketika negara diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak mempunyai masalah dengan tarian itu, tetapi isunya ialah tidak mengekalkan jarak profesional antara fahaman yang berbeza.
” Ini adalah sebahagian daripada tradisi bagi kerjaya undang-undang. Ya itu tradisi, tetapi begitu juga dengan isu perkahwinan kanak-kanak. kita mahu tukar hak itu dan tradisi tidak statik dan mesti bergerak seiring dengan masa,” katanya menerusi hantaran akaun Twitter miliknya di sini hari ini.
Dalam video yang tular itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas menari bersama di atas pentas dengan beberapa individu lain dalam acara yang dipercayai majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019.
Selain kedua-dua tokoh itu, antara mereka yang berprofil tinggi didapati berada dalam video sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam yang dilihat sebagai pro-PH, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim. – UTUSAN ONLINE










