Budak dua tahun tinggal bersama kaki hidu gam diselamatkan JKM Melaka - Utusan Malaysia

Budak dua tahun tinggal bersama kaki hidu gam diselamatkan JKM Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selepas dikesan tinggal bersama ibunya di dalam sebuah premis yang dijadikan sarang menghidu gam dan menagih dadah di Jalan Plaza Mahkota di sini hari ini.

Kanak-kanak itu diselamatkan dalam serbuan bersepadu bersama penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kira-kira pukul 10 pagi.

Ibu kanak-kanak terbabit berumur 32 tahun turut ditahan AADK selepas didapati positif Methamphetamine bersama tujuh yang lain.

Kesemua enam lelaki dan dua wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah manakala dua lagi lelaki gelandangan yang tinggal di premis itu diserahkan kepada JKM. 

Penolong Pegawai JKM (Unit Kanak-kanak) Melaka Tengah, Wan Nor Ahniza Hanom Ahmad berkata, kanak-kanak itu merupakan anak kedua wanita tersebut yang diselamatkan hasil perhubungan dengan bekas teman lelakinya. 

“JKM sebelum ini telah beberapa kali berusaha untuk menyelesaikan kes status perhubungan ibunya dengan teman lelaki termasuk memanggil jurunikah tetapi pasangan itu melarikan diri. 

“Pada hujung Oktober lalu, kita telah menyelamatkan anak bongsunya yang kini berusia empat bulan selepas ditinggalkan di Hospital Melaka, manakala anak sulung berumur lapan tahun dijaga oleh datuknya,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Plaza Mahkota di sini hari ini.

Difahamkan, ketiga-tiga anak wanita tersebut merupakan hasil perhubungan dengan individu yang berbeza sejak 2015. 

Katanya, kanak-kanak tersebut akan dibawa ke rumah perlindungan dan proses selanjutnya akan dibuat mengikut Akta Kanak-kanak 2001. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×