ALOR SETAR 27 Jan. – Barisan Nasional (BN) boleh menyaingi undi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kelak, sekiranya pendekatan UMNO dan Pas yang bekerjasama di Cameron Highlands diteruskan dengan lebih erat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, walaupun PRK di Cameron Highlands dan Semenyih berbeza, tiada yang mustahil untuk BN memperoleh kemenangan seterusnya, bagi menterjemahkan penolakan rakyat terhadap PH.
Menurutnya, andai UMNO dan Pas terus menggandakan kerjasama mereka, berkemungkinan 14,464 undi kepada BN dan 6,966 undi diperoleh Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu di Semenyih mampu menghampiri jumlah 23,428 undi yang diraih penyandang kerusi itu daripada PH.
“Memang kita kena gandakan gerak kerja kerana bertanding di DUN yang negerinya di bawah kerajaan PH berbeza dengan di Pahang (Cameron Highlands). Sudah pasti agensi atau jabatan-jabatan dalam negeri akan dikerahkan sepenuhnya bagi membantu calon PH.
“Justeru itu, sekali lagi kerjasama Pas diperlukan di Semenyih nanti kerana kalau dirujuk dengan keputusan PRU-14 lalu, undi BN dan Pas boleh menyaingi undi PH,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam PRK Semenyih yang dijadualkan 2 Mac ini, UMNO akan menampilkan muka baharu selepas calon dan bekas penyandang kerusi itu sebelum PRU-14, Datuk Johan Abdul Aziz menarik diri selain Pas yang mengumumkan tidak akan meletakkan calon mereka dalam PRK itu.
Sementara itu, Mohamad Fadzil berkata, kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands menunjukkan pengundi sudah muak dengan janji-janji ditabur PH yang bukan sahaja ditolak oleh orang Melayu dan orang Asli tetapi turut diketepikan pengundi Cina dan India di kawasan parlimen itu.
“Undi orang-orang Asli menunjukkan bahawa mereka sudah matang dalam berpolitik serta kebijaksanaan kepemimpinan parti yang memilih Ramli Mohd. Nor sebagai calon amatlah tepat.
“Malah, jika kemenangan terus berpihak kepada BN dalam PRK Semenyih, itu antara isyarat yang amat jelas penolakan rakyat terhadap PH selain petanda orang Melayu Islam perlu bersatu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










