ISKANDAR PUTERI 29 Jan. – Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa hektar daripada 1,500 hektar tanah wakaf untuk membina rumah mampu milik.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian bagaimanapun berkata, usaha itu akan dijayakan dengan kerjasama Majlis Fatwa terutama berhubung syarat pertukaran penggunaan tanah wakaf di Johor.
Menurut beliau, langah itu bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan Pusat yang menyasarkan pembinaan sejuta rumah mampu selain kerajaan negeri mahu membina 100,000 rumah.
“Di seluruh negeri ada 3,700 ekar (1,500 hektar) tanah wakaf terdiri daripada wakaf sekolah agama, tanah kubur, masjid, surau dan sebagai contoh, seperti di Bandar Baru Uda, sudah ada sekolah agama yang tanah wakafnya didirikan hospital.
“Jadi, sekarang atas kehendak kerajaan Persekutuan kita kenal pasti tanah wakaf yang tidak dimajukan malah ada yang sudah puluhan tahun ditinggalkan begitu saja.
“Kita nak membantu rakyat untuk bina rumah Mampu biaya,” katanya dalam majlis Penyerahan Kunci Rumah mampu Biaya Johor (RMBJ) Pembangunan Denai Nusantara oleh UEM Sunrise Bhd. di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pengarah Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad.
Dalam perkembangan lain, kata Osman, mulai Januari ini, pemaju yang gagal membina RMBJ mempunyai dua pilihan untuk membayar penalti iaitu sama ada mahu membayar penuh atau secara berperingkat-peringkat.
Jika bayaran penuh, kadar dikenakan adalah RM40,000 setiap unit yang gagal dibina manakala RM60,000 seunit bagi bayaran ansuran.
“Namun, yang nak bayar secara ansuran itu pula, mereka perlu bayar 50 peratus wang pendahuluan.
“Dengan syarat baharu ini juga, pemaju perlu membina RMBJ dalam tempoh enam bulan selepas projek dilaksanakan supaya mereka ada inisiatif nak buat dulu, kalau tidak, pemaju tunggu saja nak buat, lama-lama lepas tu tak buat dan sanggup bayar denda. Itu tidak adil dan kita tidak mahu bebankan kerajaan,” katanya.
ends..











