“BENAR kata emak saya, cinta takkan kekal selamanya. Lebih penting cari suami bertanggungjawab. Tetapi bagaimana boleh kita dapatkan suami seperti ini jika berkahwin pun belum. Kata emak, lihat hubungannya dengan ibu bapa dan adik beradiknya. Jika dia tidak ambil berat hubungan dengan keluarganya, maka dia bukanlah orang yang boleh jadi tempat kita bergantung.
“Tetapi disebabkan saya masih mentah ilmu berumah tangga, lantas saya katakan, kalau dia pentingkan keluarganya, buat apa dia kahwin? Anak isteri lebih penting. Memang kami tak sefahaman tetapi jelas hubungan emak dengan keluarga ayah memang baik.’’ Itu cerita Norathiah ketika kami berbual.
“Apa yang saya ceritakan ini bukan nak bangga diri konon saya ini penyabar, tetapi saja nak beri iktibar kepada anak-anak gadis, kalau cari suami jangan jadi macam saya, konon cinta boleh bawa kebahagian hingga ke jannah, tetapi saya silap, banyak merosakkan diri dan masa depan saya.
“Saya jumpa suami, Elham ketika kami bekerja di syarikat yang sama. Selepas anak pertama berusia dua tahun, dia berhenti kerja nak buat bisnes. Memang saya tak setuju, tetapi siapalah saya hendak nasihat dia, kerana dia memang tak makan nasihat, bukan sahaja garang, malah cepat naik angin. Kalau saya tahu inilah perangainya, memang saya tak terima ketika dia melamar saya dulu.
“Perangai sebenarnya terpancar bila saya hamil anak pertama. Dia tak pedulikan kesihatan saya, dia pentingkan diri sendiri. Perangainya semakin teruk dan tambah buruk setelah beberapa tahun berkahwin. Hanya Allah sahaja yang tahu. Dia tak banyak cakap, bukan pendiam, kalau salah tanya kadang kala kena tengking, Katanya waktu dia rehat jangan banyak tanya, buat berserabut otak. Kerana saya suka bertanya punca dia tak suka duduk rumah, konon fikiran terganggu.
“Siapa tak sakit hati, orang lain pun bersuami tapi boleh bawa isteri berjalan, kalau sakit hantar ke hospital. Bila isteri bersalin, suami ambil cuti bantu carikan bidan urut, belikan ubat dan sebagainya. Tetapi Elham tidak buat macam tu, dia suruh saya pergi hospital sendiri, cari bidan urut sendiri dan belilah ubat sendiri. Alasannya dia sibuk. Jadi sapa tak sakit hati?
“Kalau anak sakit, katanya kereta ada pergilah sendiri, kenapa mesti tunggu dia. Dia keluar cari rezeki, jadi banyak benda saya terpaksa uruskan sendiri.
“Kerana sikap inilah membuat kami sering bertengkar. Dia keluar masuk rumah macam touch and go saja. Setiap kali keluar rumah alasannya ada kerja. Demikianlah halnya hingga 10 tahun kami berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Namun saya tak nafikan bisnesnya memang maju.
“Oleh kerana tahap pelajarannya tidaklah tinggil, banyak kali dia minta bantuan saya untuk tulis surat, jumpa orang tertentu, untuk memudahkan dia teruskan bisnesnya. Kadang-kala dalam pada dia kata saya `tak ada guna’ baik jaga anak-anak saja, tetapi ada kalanya dia perlukan saya untuk jumpa orang tertentu untuk bisnes.
“Walaupun hidup terasa sunyi kerana suami duduk rumah macam touch & go, tetapi ada ketikanya saya rasa diri saya berguna juga. Kerana itu saya masih kekal bersamanya.Walaupun Elham anggap saya tak wujud dalam hidupnya. Namun saya sentiasa berdoa satu hari nanti perangai buruknya akan berubah. Apapun pada satu hari saya dikejutkan dengan panggilan misteri.
“Seorang wanita muda ingin sangat bertemu saya, dia beritahu ingin ceritakan perangai Elham. Mulanya memang saya tak percaya, tetapi setelah dia berikan beberapa bukti, akhirnya saya jumpa beliau.
“Macam nak pitam saya bila diberitahu Elham ada kekasih bukan satu, tapi tiga orang, mungkin salah seorang daripada wanita itu bakal bernikah dengan Elham tak lama lagi. Saya rasa nak jatuh tergolek ketika itu.
“Saya juga rasa macam nak sepak muka perempuan itu apabila dia mengaku, dia salah seorang bekas kekasih Elham, tetapi terpaksa putuskan hubungan bila tahu perangai panas baran Elham tetapi dia awalnya rela bermadu.
“Katanya dia bongkar rahsia Elham pada saya bukan kerana dia tak dapat kahwin dengan Elham sebaliknya dia tak boleh sabar dengan perangai lelaki kaki perempuan. Ya Allah! Terkejut saya. Elham kaki perempuan! Sebab depan saya dia pendiam dan nampak rajin bekerja dan tak suka berkawan dengan wanita.
“Bila tanya Elham dia tak mengaku. Katanya perempuan itu tergila-gilakan dia. Kerana sakit hati saya pergi ke mahkamah syariah. Mereka panggil kaunseling dan kaunseling, tak ada keputusan. Elham memang tak datang. Kesudahanya, Elham kata dia takkan ceraikan saya, malah suruh saya duduk rumah diam-diam.
“Kerana percayakan Elham takkan kahwin lagi, maka saya buat keputusan terus bersabar tetapi sebenarnya dalam hati saya sudah tidak ada lagi kasih sayang antara kami.
“Sungguhpun begitu saya tetap berdoa agar Elham kembali kepada keluarga tetapi sukar dinafikan bahawa hati dan perasaan Elham lebih bahagia dengan wanita-wanita lain di luar sana. Akhirnya saya buat keputusan agar menerima perubahan ini kerana saya sendiri tidak berani ‘bersendirian’ apatah lagi untuk menjadi ibu tunggal.
“Walaupun hari ini, saya punya segalanya, rumah besar, kereta besar tetapi jiwa saya kosong tanpa kasih sayang suami. Namun tidak saya nafikan anak-anak bahagia kerana mendapat segala-galanya. Persoalannya bolehkah mereka menikmati kebahagian ini jika saya menjadi ibu tunggal?
“Saya tak berani perjudikan tindakan saya demi kepuasan diri sendiri sedangkan anak-anak akan alami hidup yang tidak menentu.
“Hingga kini Elham tidak pernah mengaku dia sudah berkahwin lagi dan saya sendiri tidak suka bertanya kerana sudah tahu jawapan pembohong yang akan keluar daripada mulutnya.
“Saya percaya,pembohongan demi pembohongan yang dilakukannya selama ini akan memakan dirinya sendiri. Saya tak berdoa tetapi bersedialah dengan bala yang bakal Elham terima. Saya sedar saya bukan isteri terbaik. Kerana itu saya berikan lebih banyak tumpuan kepada anak-anak berbanding Elham .
“Sememangnya wang ringgit tidak menjanjikan kebahagiaan kepada saya. Tetapi tanpa wang ringgit anak-anak tidak akan hidup bahagia. Pasti hidup mereka lebih tertekan jika keperluan untuk meneruskan pelajaran tersekat yang selama ini mereka nikmati. Saya sedar pendapatan saya tak mampu dengan gaya hidup anak-anak saya sekarang.
“Saya lihat Elham bukan suami saya lagi, dia umpama orang lain. Sukar saya terima setelah saya tahu dia baru balik dari rumah isteri keduanya walaupun dia tidak pernah mengaku sudah berkahwin.
“Di tempat kerja pula saya jadi pendiam, kurang bergaul dengan teman-teman. Hidup saya antara pejabat dan rumah sahaja . Saya lebih banyak menyepi diri, kesal kerana selama ini memperbodohkan diri sendiri. Hendak hidup sendirian saya tak berani memandangkan usia semakin meningkat dan lebih penting saya tak mahu kehidupan anak-anak terganggu kerana perceraian kami.
“Kerana saya faham ramai suami akan melepaskan tanggungjawabnya beri nafkah kepada anak-anak selepas bercerai. Malah mereka bersyukur jika perceraian terjadi mereka tak perlu keluar duit untuk sara hidup anak-anak yang hanya menjadi beban kepada mereka.
“Kepada isteri-isteri di luar sana janganlah jadi seperti saya percayakan suami membabi buta, dan takut menghadapi kenyataan diceraikan, semata-mata kerana takut terlepas mendapat suami yang tebal isi poketnya, hinggakan sanggup diperbodohkan asalkan tidak hilang gelaran dan kemewahan hidup yang selama ini dinikmati.
“Kepada para gadis dan ibu-ibu tunggal yang bersedia menangkap suami orang, jangan salahkan isteri pertama tak pandai jaga suami, kerana nasib dan masa depan anda sendiri belum tentu lagi. Ada kemungkinnan suami anda akan berkahwin seorang lagi.’’ Itu cerita Norathiah tentang pengalamannya sanggup ‘bermadu’ demi masa depan dan kebahagiaan anak-anak..










