‘NIKMAT’ yang diperoleh masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa jauh langit dan bumi berbanding apa diraih pemimpin-pemimpin UMNO serta parti komponen. Baik Menteri, wakil rakyat hinggalah kepala-kepala di bahagian.
Namun sebaik BN tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebahagian pemimpin tadi hilang arah, resah hinggakan bukan seorang dua lompat parti menyeberang ke Pakatan Harapan (PH), yang berjawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pun ada.
Macam-macam alasan diberi, tetapi semuanya klise. Yang berstatus Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saham mereka memang tinggi kerana ada parti kerajaan yang berebut menerima golongan ini.
Di bawah pun tak kurang, sebelum PRU-14 ingatkan darah biru dan berbau keris, tetapi segelintir mereka bukanlah pejuang sejati. Sudah masuk parti baru dicemuh pula UMNO yang mereka pernah menumpang teduh meraih nikmat.
Namun, takdir ada kekosongan kerusi di Parlimen Cameron Highlands. Ada yang yakin mampu mengalihkan undi Orang Asli kepada PH selepas BN sudah tiada lagi apa yang sering dipanggil 3M dalam politik.
Semalam siapa yang buat telahan ini silap besar. Orang Asli Cameron Highlands menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia kesetiaan mereka pada dacing, bukan sahaja ketika BN berkuasa.
Masyarakat itu mungkin ada kekurangan, tetapi mereka mempunyai kelebihan apa yang tidak dimiliki segelintir bekas pemimpin UMNO yang menyeberang selepas Putrajaya tidak lagi dalam genggaman BN.
Buat pemimpin UMNO dan BN yang mungkin ada berkira-kira mengikut jejak beberapa Ahli Parlimen UMNO yang telah menyeberang, ingatlah apa yang telah Orang Asli Cameron tunjukkan iaitu nilai kesetiaan.
Bukan menafikan hak Perlembagaan untuk sesiapa pun lompat parti tetapi politik bukan sekadar untuk ‘cari makan’. Jadilah pembangkang dalam penggal ini, perbaiki kesilapan untuk mengukuhkan langkah mendapat kembali keyakinan rakyat.
Bagi PH pula, teruslah terima kalau ada wakil rakyat UMNO nak melompat. Namun persoalannya, mampukah cara itu melemahkan UMNO sedangkan akar umbi tidak banyak berganjak. Maka, jangan sampai jadi senjata makan tuan kerana pengundi atas pagar ramai tidak suka PH terima orang UMNO yang lompat parti. – UTUSAN ONLINE










