Bibi Ramjani tetap mahukan import - Utusan Malaysia

Bibi Ramjani tetap mahukan import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetap berkeras untuk mengambil pemain import meskipun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengenakan syarat ketat ke atas pasukan itu ekoran masalah tunggakan hutang.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, buat masa ini badan induk itu sedang bertungkus-lumus mencari jalan bagi memastikan kouta pemain import untuk The Red Warriors (TRW) mampu dilengkapkan sebagaimana yang telah ditetapkan.

Menurutnya, kesemua calon pemain import akan diuji pada aksi persahabatan yang telah dirangka sebelum dipilih untuk membarisi kesebelasan utama TRW.

“Aksi persahabatan itu juga akan menjadi medan untuk menguji persiapan pasukan menjelang sepak mula Liga Perdana 2019,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, MFL menegaskan syarat ketat terhadap Kafa mengenai pengambilan pemain import untuk Liga Malaysia 2019 bukan untuk ‘mendera’ sebaliknya demi kebaikan dan kemajuan bola sepak negeri itu.

Tindakan itu berpunca daripada masalah tunggakan gaji lama berjumlah lebih RM500,000 membabitkan bekas pemain, Dramane Traore dan bekas pengarah teknikal, Alfredo Gonzales.

Bagaimanapun, Kafa perlu menyelesaikan masalah berkenaan setelah MFL tampak enggan lagi berkompromi dengan masalah yang berbangkit.

Namun, Kafa dilaporkan sudah menandatangani Yuka Suzuki dari Jepun sebagai pemain import baru selepas mereka mengekalkan khidmat pertahanan, Cassio de Jesus.

Suzuki, menyertai TRW hasil tajaan syarikat pengeluar minuman pribiotik Yakult (M) Sdn. Bhd dan MFL membenarkan pemain itu didaftarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN