PADANG BESAR 5 Jan. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap semua organisasi di negeri ini sama ada awam mahupun swasta berusaha keras menjadi yang terbaik.
Titah baginda, semua pihak di setiap peringkat juga hendaklah menerapkan semangat tidak mengenal erti putus asa serta bermuhasabah.
“Insya-Allah usaha gigih itu akan memberi kejayaan kepada kita,” titah baginda selepas melancarkan program ‘Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Peduli – Ops Cicir Sifar Perlis 2018 di Ma’had At Tarbiyah Al Islamiyah (Matri) di sini, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda ke projek diraja atas kerjasama JPN dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu disambut Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.
Turut hadiri Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Sementara itu, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut yakin semua kepimpinan organisasi akan memberikan fokus dan tumpuan terhadap segala perancangan terbaik untuk 2019.- UTUSAN ONLINE










