MELAKA 28 Jan. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal laporan portal Malaysiakini yang dianggap mempunyai niat jahat dan berunsurkan fitnah terhadap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, semalam.
Setiausaha Bersatu Melaka, Zamzuri Arifin berkata, laporan bertajuk ‘Ketua Bahagian Bersatu Melaka undi tidak percaya pada menteri’ itu adalah tidak tepat dan memetik sumber-sumber yang berniat jahat terhadap Mohd. Redzuan.
Menurutnya, apa yang dilaporkan oleh sumber kepada Malaysiakini sebagai undi tidak percaya terhadap Menteri Pembangunan Usahawan itu juga tidak mengikut peraturan.
“Hakikatnya, majoriti ahli mesyuarat termasuk saya sendiri yang juga Ketua Bahagian Alor Gajah menyokong kepimpinan Pak Wan (Mohd. Redzuan).
“Jadi, bagaimana laporan itu boleh mengatakan semua Ketua Bahagian membuat undi tidak percaya terhadap beliau?
“Kami berpendapat laporan tersebut merupakan satu kesinambungan percubaan beberapa kerat pemimpin Bersatu negeri dan penyokong mereka untuk mencalarkan kepimpinan Pak Wan yang cemerlang dan berintegriti tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Bahagian Jasin, Anuar Md. Seh; Timbalan Ketua Bahagian Tangga Batu, Hamidi Harun; Timbalan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Saleh Majid dan Naib Ketua Bahagian Masjid Tanah, Ridhuan Abu Bakar. – UTUSAN ONLINE










