PUTRAJAYA 8 Jan.- Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula pembinaan Projek Hidroelektrik Empangan Telom di Pos Lanai di Kuala Lipis, Pahang
Pengerusinya, Jeffry Hassan berkata, kerajaan perlu memikirkan semula kesan sampingan terhadap kira-kira 2,000 masyarakat Orang Asli dan alam sekitar sekiranya projek Empangan Telom itu diteruskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Jeffry berkata, projek empangan yang bakal menghasilkan menghasilkan 132 megawat (MW) elektrik juga dibimbangi akan memusnahkan hutan seluas 7,600 hektar serta ekosistemnya yang menjadi sumber pendapatan Orang Asli sejak sekian lama.
“Pada Mei 2015, kami telah menfailkan injuksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan injuksi bagi menghalang TNB membina empangan itu dan kami berjaya mendapat perintah untuk menghalang kerja-kerja pembinaan.
“Namun, TNB berjaya menukarkan kes ke Mahkamah Tinggi Temerloh pada Ogos 2016 dan kami kalah dalam injuksi kedua untuk menghalang TNB membuat kerja-kerja untuk pembinaan empangan di Pos Lanai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Jeffry menghantar surat kepada Pegawai Pejabat Peguam Negara, Wasri Ahmad Sujani bagi meminta Peguam Negara mengecualikan mereka daripada tuntukan kos sebanyak RM12,000 dengan alasan mereka berjuang mempertahankan hak yang sah.
Menurut Jeffry, pada 28 Ogos tahun lalu, beliau menerima surat tuntutan dari Pejabat Peguam Negara menuntut kos mahkamah yang telah diberikan bagi pihak TNB, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan kerajaan Malaysia selepas gagal dalam injuksi yang dibuat.-UTUSAN ONLINE










