Berhati-hati dengan godaan ‘tiga ta’ - MB - Utusan Malaysia

Berhati-hati dengan godaan ‘tiga ta’ – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 30 Jan. – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihati penjawat awam di negeri ini supaya berwaspada dengan godaan rasuah dalam bentuk harta, wanita dan kuasa.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab kakitangan awam untuk membuat laporan sekiranya mereka cuba dirasuah oleh mana-mana pihak supaya tindakan boleh diambil dengan segera.

“Kalau bagi cenderahati, buah-buahan, buku, makanan atau coklat tak apalah. Yang kita takut ‘tiga ta’ iaitu wanita, harta dan takhta (kuasa).

“Rasuah bukan saja duit, kereta, rumah atau televisyen tetapi ada juga yang bagi perempuan. Ada yang minat wanita, mereka main golf di luar negara, kita tahu. Yang terlibat hentikanlah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil.

Ditanya sama ada beliau pernah cuba dirasuah sejak menjadi Menteri Besar, Aminuddin berkata : “Cubaan rasuah belum ada. Cubalah (kalau berani).”

Katanya, sebagai pemimpin negeri, rasuah adalah dugaan besar dan berharap beliau dan pemimpin lain dapat melepasi ujian tersebut sekali gus menjalankan tugas dengan amanah dan baik.

“Kita kena jadikan elak rasuah itu sebagai budaya. Kita kena rasa cukup dengan apa yang ada, berbelanja ikut keperluan.

“Kepada pemberi rasuah hentikanlah perbuatan itu, berniaga dan melaburlah dengan jujur. Apa yang berlaku pada negara kita pada hari ini adalah kesan daripada amalan itu sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×