DISKRIMINASI warna kulit hingga menyebabkan berlaku perbalahan perlu dihentikan. Tidak perlu diutarakan isu sensitif berkenaan kerana ia boleh mencetuskan rasa kurang senang ramai.
Macam mana pun rupa warna kulit seseorang itu, ia patut disyukuri. Tanpa prejudis, kita tak boleh menganggap warna kulit tertentu lebih istimewa berbanding satu lagi.
Kalau orang kata, yang berkulit hitam itu dihina manakala putih, disanjungi, terma itu dah tak boleh pakai lagi, lapuk sangat. Tak relevan langsung pada zaman moden ini.
Atas sebab itulah pengacara Sarimah Ibrahim memberi respon isu yang sama dalam akaun Twitter miliknya baru-baru ini. Dia tidak bersetuju apabila seorang gadis yang baru menang dalam satu pertandingan pencarian bakat mengangkat isu warna kulit.
Hinggakan tak pasal-pasal timbul perbalahan dalam laman sosial. Semuanya gara-gara kenyataan pemenang itu berbunyi; “ala, kulit putih bukannya cantik, pucat dan lain-lain.”
Bunyinya memang tidak molek sangat tu. Daripada sibuk bertekak tentang kulit putih atau hitam, lebih baik kita menilai kebersihan hati masing-masing. Yang itu paling menjadi ukuran dalam pergaulan harian.
Setakat nak bandingkan siapa paling cantik dengan warna kulit tertentu, remeh sangat. Banyak lagi perkara bermanfaat boleh difikirkan daripada berdebat tentang perkara itu.










