Berang isteri pajak 2 pokok rambutan - Utusan Malaysia

Berang isteri pajak 2 pokok rambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Seorang imam berusia 63 tahun ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya hingga ce­dera sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol gara-gara berselisih faham dengan isterinya itu berhubung dua batang pokok rambutan di rumah mereka di Kampung Bukit Kadir di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah didakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan berkenaan yang telah berbuah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, suspek yang bersara pada tahun 2015 dan berkhidmat sebagai Imam 2 di Masjid Kampung Bukit Kadir ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Januari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

“Isteri suspek berusia 58 tahun mendakwa suaminya tidak berpuas hati tentang pajakan pokok rambutan itu kepada orang kampung. Dia mendakwa telah ditumbuk pada muka, rambutnya ditarik dan ditendang oleh suaminya.

“Isterinya turut mendakwa suaminya memegang sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke udara. Suaminya kemudian didakwa mengambil parang dan mahu menyerangnya, tetapi dapat dihalang oleh salah seorang anak lelaki mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Nor Marzukee berkata, isteri suspek memaklumkan pihak polis dia mengetahui suaminya ada menyimpan senjata pistol, namun tidak mengetahui jenis pistol tersebut.

Menurut beliau, anak lelaki wanita itu pula mendakwa bapanya menyimpan pistol jenis Revolver, tetapi tidak mengetahui sama ada bapanya memiliki lesen senjata api atau tidak.

Jelas beliau, suspek bagaima­napun tidak mengaku melepaskan tembakan dalam kejadian tersebut ataupun memiliki senjata api.

“Pemeriksaan di halaman rumah tempat suspek didakwa melepaskan tembakan tidak menemui kelongsong peluru. Siasatan masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk Kampung Bukit Kadir ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam memberitahu, suspek baru lebih setahun dilantik secara rasmi sebagai Imam 2 di masjid kampung berkenaan.

Kata mereka, suspek tiada sebarang masalah dengan ahli kariah masjid tersebut sebelum ini dan dia kerap menjadi imam di masjid itu sebelum dilantik secara rasmi.

“Ramai ahli kariah masjid tidak tahu dia ditahan walaupun sudah beberapa hari dia tidak datang ke masjid.

“Siang tadi (semalam) kami dapat tahu ada polis datang cari pistol di Sungai Batang Labu di belakang masjid. Kata mereka, pistol itu dipercayai dibuang ke dalam sungai itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN