Bekas pengurus kanan direman tiga hari siasat kes rasuah RM2 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengurus kanan direman tiga hari siasat kes rasuah RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus kanan produk sebuah syarikat direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat ini terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari pada pukul 9.20 pagi.

Kosmo! Online semalam melaporkan, lelaki itu ditahan pada pukul 4.35 petang sewaktu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki itu telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

Jelasnya, SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN