PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat komputer dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.
Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin serta pasportnya turut ditahan.
Lelaki berusia 40 tahun itu membayar jaminan yang ditetapkan.
Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan lelaki itu direman tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Bagaimanapun, tahanan reman terhadapnya disambung dua hari bermula Jumaat lalu sebelum tamat hari ini.
Sementara itu, menurut sumber, lelaki itu ditahan pada pukul 4.35 petang sewaktu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini Isnin lalu.
Jelasnya, siasatan awal mendapati lelaki itu telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.
Tambahnya, SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes sama. – K! ONLINE










