Bekas pemandu Zahida Rafik diarah pulangkan wang RM200,000 - Utusan Malaysia

Bekas pemandu Zahida Rafik diarah pulangkan wang RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA  –  Mahkamah Persekutuan di sini sebentar tadi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan bekas pemandu peribadi aktres, Zahida, Noor Azman Azemi memulangkan wang RM200,000. 

Ia berikutan selepas lelaki itu gagal dalam rayuan kes saman yang dikemukakan terhadap pelakon itu kerana memfitnahnya tujuh tahun lalu. 

Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusof dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh. 

Dalam prosiding itu, panel tersebut berpuas hati bahawa keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan yang mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah betul ketika mencapai dapatannya sewaktu menolak tuntutan saman yang difailkan Noor Azman, 44,. 

Azahar yang membaca penghakiman sebulat suara berkata, rekod rayuan mendapati tiada kesilapan atau ketidakadilan yang diputuskan Mahkamah Rayuan terhadap defendan seperti yang didakwa plaintif. 

Katanya, terdapat bukti yang meyakinkan dan berwibawa bahawa Zahida atau nama sebenarnya Zahida Mohamed Rafik, 43, mengamanahkan kepada plaintif RM200,000 untuk dimasukkan ke dalam bank, bagaimanapun plaintif gagal berbuat demikian.

“Selepas membaca penghakiman Mahkamah Rayuan, mahkamah ini mendapati aduan yang dibuat peguam plaintif ( Noor Azman) adalah berikutan beliau gagal memahami terma penghakiman itu.  Adalah salah untuk mencadangkan bahawa Mahkamah Rayuan meminta plaintif untuk membuktikan pembelaan justifikasi, sebaliknya prinsip undang-undang ialah beban pembuktian terletak kepada defendan untuk membuktikannya, ” katanya. 

Dalam prosiding itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Zahida manakala Latheefa Koya mewakili Noor Azman. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×