PULAU PINANG 16 Jan. – Bekas kapten bola sepak Pulau Pinang era 90-an, Aziz Azizan, 54, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini akibat tekanan darah tinggi.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang setelah tiga hari koma selepas bermain bola sepak pada kejohanan Bola Sepak Piala Veteran di Balik Pulau, Ahad lalu.
Anak saudara Aziz, Zamri Ahmad berkata, jenazah bapa saudaranya akan dibawa ke kampung halamannya di Bagan Lebai Tahir di Bagan Ajam dan dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Bagan Lebai Tahir.
“Arwah pada mulanya dihantar ke Hospital Balik Pulau sebelum dipindahkan ke HPP.
“Keadaannya semakin kritikal dan dia dalam keadaan koma serta bergantung kepada mesin sokongan hayat semasa dirawat di hospital,” katanya, di sini hari ini.
Menurut Zamri, bapa saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan tidak mempunyai sebarang penyakit.
“Rakan-rakan dan orang ramai yang ingin menziarah jenazah boleh hadir di rumah keluarga arwah di Bagan Lebai Tahir,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan 11 orang anak. – UTUSAN ONLINE










