KUALA LUMPUR 11 Jan. – Pembatalan beberapa projek mega yang melibatkan pelabur dari China tidak menjejaskan perancangan yang telah dibuat Vanke Holdings (Malaysia) Sdn. Bhd. (Vanke).
Pengarah Urusan Vanke, Lang Chong berkata, pihaknya masih yakin dengan iklim pelaburan di Malaysia dan beliau juga turut positif terhadap pasaran hartanah negara ini biarpun kerajaan mengawal ketat projek-projek dari China.
“Kami yakin terhadap hubungan Malaysia-China. Malaysia merupakan negara yang sangat selesa untuk didiami. Selain itu, pelaburan juga baik untuk rakyat tempatan.
“Kami melabur di sini dan kami mahu menyediakan produk yang baik untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada pemberita pada majlis pratonton Vanke Experiantial Hall di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Chong berkata, pembangunan bersepadu yang dirancang di kawasan Bukit Nanas oleh Vanke masih dalam fasa perancangan.
Katanya, syarikat itu telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perhutanan berhubung pembangunan di kawasan berkenaan dan dalam masa yang sama tetap melindungi Hutan Simpan Bukit Nanas.
“Kami mahu bersama-sama melindungi hutan berkenaan kerana ia merupakan khazanah negara. Selain itu, ia merupakan faktor tarikan bagi projek kami,” katanya.
Sebelum ini, beberapa media melaporkan pembangunan Vanke yang terletak di zon warisan dan rizab hutan Bukit Nanas telah mencetuskan kebimbangan Jabatan Warisan Negara.
China Vanke Co. Ltd. yang berpangkalan di Shenzhen, antara pemaju hartanah kediaman terbesar di China, membeli tanah berkenaan daripada Malola Garden City membabitkan sejumlah RM500 juta atau RM1,600 bagi sekaki persegi.
Chong juga berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai pembangunan berkenaan memandangkan syarikat itu belum memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Membina pangsapuri perkhidmatan 80 tingkat itu merupakan perancangan lama. Kami perlu mematuhi dasar yang ditetapkan, namun kami mahu melancarkan pembangunan kediaman dahulu sebelum melaksanakan pembangunan yang lain,” katanya.
Projek kediaman itu merupakan pembangunan pertama Vanke di Malaysia dan kelimanya di luar China.










