SEGAMAT – Perbuatan keji seorang bapa merogol anak perempuannya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) tahun lalu terbalas apabila dia dijel 20 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rashidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 51 tahun itu menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun (ketika kejadian) di rumahnya di sini, antara Januari hingga 10 Mac 2018.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu melakukan amalan seksual fizikal ke atas mangsa di rumah sama, pukul 6.45 pagi, 11 Mac 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama dan 10 tahun penjara bagi pertuduhan kedua, namun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 20 Mac 2018.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE










